Pengendali Bas.My diingatkan patuhi had laju, SOP – Anthony Loke
ALOR SETAR – Pengendali bas bagi program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) atau dikenali sebagai Bas.My diingatkan supaya mematuhi peraturan jalan raya termasuk had kelajuan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti kemalangan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, syarikat bas terlibat juga perlu memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi termasuk aspek latihan pemandu bagi menjamin keselamatan operasi.
“Kita mensyaratkan syarikat-syarikat bas sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan, terutama dari segi kelajuan dan latihan kepada pemandu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program SBST Bas.My Kota Setar di Dataran Medan Bandar, hari ini.
Mengulas insiden kemalangan maut membabitkan sebuah bas program SBST baru-baru ini di daerah tersebut, Loke berkata siasatan masih dijalankan pihak polis bagi menentukan punca sebenar kejadian.
“Polis akan jalankan siasatan menyeluruh. Kita di kementerian hanya bantu dari sudut siasatan teknikal. Sama ada pemandu cuai atau tidak serta kemungkinan pendakwaan, semua itu akan diputuskan oleh polis dan pihak Pejabat Peguam Negara,” katanya.
Loke turut memaklumkan pihak kementerian telah meminta syarikat pengendali bas menyalurkan bantuan kewangan segera kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian tersebut.
Dalam ucapannya sebelum itu, beliau berkata Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM78.5 juta bagi tempoh lima tahun atau RM15.7 juta setahun untuk memastikan keberhasilan perkhidmatan Bas.My di daerah Kota Setar.
“Ini adalah pelaburan besar. Kita mahu setiap sen yang dibelanjakan dimanfaatkan sepenuhnya demi keselesaan dan kemudahan rakyat. Model baharu itu membolehkan kerajaan menanggung kos melalui kontrak, sekali gus mengurangkan risiko kerugian kepada pengendali bas,” jelasnya.
Beliau berkata, kontrak lima tahun itu memberi jaminan kepada syarikat untuk membuat pelaburan termasuk pembelian bas baharu dan mendapatkan pembiayaan kewangan daripada institusi perbankan.
“Dengan kontrak itu, pengendali lebih yakin untuk buat pelaburan kerana mereka ada jaminan pendapatan. Tetapi mereka tetap tertakluk kepada syarat ketat iaitu laluan mesti diikuti, jadual mesti dipatuhi. Jika tidak, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) boleh potong bayaran mereka,” katanya.
Menurut beliau, model tersebut direka bagi mengatasi masalah perkhidmatan bas henti-henti yang sebelum ini sering menerima aduan berkenaan kelewatan, laluan tidak dipatuhi atau bas tidak berhenti di lokasi yang sepatutnya.
Tambah Loke, sejak pelaksanaan Bas.My Kota Setar bermula 1 Jun lalu, seramai 30,488 penumpang telah menggunakan perkhidmatan tersebut dan angka itu dijangka mencecah 50,000 menjelang akhir bulan ini.
“Saya menggalakkan pengguna menggunakan pas perjalanan tanpa had selama 30 hari dengan bayaran RM50. Bagi warga emas, OKU, pelajar sekolah berumur tujuh hingga 17 tahun serta pelajar IPT awam dan swasta, kad konsesi dengan tambang percuma juga disediakan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







