BERITA SEMASA

Minggu Kementerian Digital di Osaka catat 100,000 pengunjung, angkat industri kreatif digital Malaysia

OSAKA – Minggu Kementerian Digital sempena Ekspo 2025 Osaka yang berlangsung selama lima hari di Pavilion Malaysia menerima sambutan luar biasa, dengan kehadiran lebih 100,000 pengunjung.

Berlangsung dari 11 hingga 15 Ogos, acara yang bertemakan “Weaving a Future in Harmony” itu diterajui oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan dirasmikan oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

Menurut Kementerian Digital, ekspo berkenaan menjadi platform utama bagi Malaysia mempamerkan keupayaan serta pencapaian dalam bidang kreatif digital meliputi sektor animasi, permainan digital, teknologi imersif serta pembangunan kandungan asli berteraskan harta intelek (IP) tempatan.

“Satu sesi padanan perniagaan turut diadakan pada 12 Ogos dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), membabitkan 14 syarikat tempatan yang dipertemukan dengan rakan industri antarabangsa.

“Usaha ini membuka laluan kepada potensi pelaburan yang dianggarkan mencecah RM134 juta, sekali gus memperluas jaringan perniagaan Malaysia ke peringkat global,” katanya terhadap ekspo yang disertai 158 negara dan telah melabuhkan tirai pada 15 Ogos lalu itu.

Sepanjang lima hari penganjuran, syarikat-syarikat kreatif digital tanah air turut diberi ruang menonjolkan inovasi mereka menerusi pelbagai sesi pameran dan aktiviti interaktif.

Produk permainan digital tempatan seperti Upin & Ipin Universe oleh Les’ Copaque, GigaBash dari Passion Republic Games serta No Straight Roads oleh Metronomik menjadi tumpuan dan berjaya menarik perhatian pengunjung dari pelbagai latar belakang.

“Kehadiran watak animasi terkenal tanah air seperti Upin & Ipin, Boboiboy dan Ejen Ali, di samping tayangan siri animasi tempatan dan aktiviti khas untuk kanak-kanak, menjadikan Pavilion Malaysia lokasi tumpuan pengunjung seisi keluarga,” katanya.

Kementerian Digital
Penutupan acara diserikan dengan kolaborasi istimewa Maskot rasmi Pavilion Malaysia di Ekspo 2025 Osaka iaitu Lina bersama karakter animasi tempatan Upin & Ipin dan Koko, Maskot Rasmi Pavilion Australia.

Sementara itu, siri Business Pocket Talk dan Fireside Chat turut diadakan pada 13 Ogos lalu dengan penglibatan wakil-wakil industri termasuk dari MDEC, Metronomik, OMG Studios, Kezerk dan lain-lain.

“Sesi ini menjadi medan perbincangan pelbagai topik penting seperti pelaburan, kandungan berasaskan budaya, pendidikan melalui teknologi, kecerdasan buatan (AI), produksi maya serta hala tuju studio permainan digital rantau ini,” katanya.

Dalam pada itu, Kementerian Digital turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) atas peluang menganjurkan minggu berkenaan, serta kepada semua pihak yang menjayakan program yang penuh inspirasi itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button