BERITA SEMASADALAM NEGERI

Sistem perisikan pantau penjualan data peribadi dilancar suku kedua 2025

KUALA LUMPUR – Kementerian Digital bakal melancarkan sistem perisikan pertama di negara ini bagi memantau aktiviti penjualan data peribadi di Dark Web pada suku kedua tahun ini.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, sistem itu dikenali sebagai Projek Keupayaan Automasi Sokongan Perisikan Bagi Pengurusan Kes Ketirisan Data Peribadi.

“Ia dibangunkan sebagai respons kepada peningkatan kebimbangan terhadap transaksi data peribadi di platform beli-belah dalam talian termasuk Dark Web,” kata beliau ketika berucap di Dewan Rakyat hari ini.

Sistem perisikan itu merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Digital dan Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi (PDP) dalam menangani cabaran keselamatan digital global yang semakin meruncing.

Kementerian Digital juga akan meningkatkan penguatkuasaan dengan menambah aktiviti pemeriksaan sistem data peribadi sebanyak 30 peratus pada tahun 2025, berbanding tahun sebelumnya.

Langkah ini termasuk pemeriksaan di premis syarikat serta penilaian kendiri secara atas talian.

Bagi memperkukuh pematuhan, aktiviti serbuan terhadap syarikat yang terlibat dalam pelanggaran data juga akan dipertingkatkan.

Kementerian turut merancang membuka pejabat Pesuruhjaya PDP di beberapa zon termasuk Sabah dan Sarawak bagi memudahkan operasi pemantauan.

“Selain itu, program advokasi dan kesedaran mengenai kepentingan perlindungan data juga akan diperluas, sejajar dengan prinsip pematuhan pemprosesan data peribadi bagi transaksi komersial.

“Sementara itu, dalam usaha meningkatkan kepakaran siber negara, CyberSecurity Malaysia akan menubuhkan Akademi Keselamatan Siber Malaysia bagi menawarkan kursus dalam bidang keselamatan siber berdasarkan pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya.

Akademi tersebut telah diumumkan penubuhannya oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada September tahun lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button