MyDigital ID akan diwajibkan untuk pendaftaran SIM prabayar – Gobind
KUALA LUMPUR – Penggunaan MyDigital ID akan diwajibkan bagi pendaftaran kad SIM prabayar sebagai langkah mengukuhkan keselamatan dan kepercayaan dalam ekosistem digital negara.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, sehingga kini, lebih 2.8 juta rakyat Malaysia sudah mendaftar MyDigital ID dengan lebih 45 platform kerajaan dan swasta telah diintegrasikan, termasuk MyJPJ dan MyBayar PDRM.
Menurutnya, Kabinet juga telah meluluskan Dasar Pengkomputeran Awan Nasional (NCCP) tahun ini bagi menyelaras dan memodenkan perkhidmatan awan kerajaan, sekali gus memperkukuh keberkesanan serta ketahanan infrastruktur digital negara.
“Usaha utama ini bakal memudahkan akses rakyat kepada perkhidmatan kerajaan, meningkatkan kesalinghubungan antara kementerian dan memastikan menjelang 2030, 95 peratus perkhidmatan Kerajaan Persekutuan tersedia sepenuhnya secara dalam talian,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Fabian Bigar pada pelancaran Bahagian 2 Pemantau Ekonomi Malaysia (MEM) Bank Dunia Oktober 2025 di ibu negara, hari ini.
Gobind menambah, kementeriannya mengakui merealisasikan dasar bukanlah tugas mudah, justeru reformasi digital sektor awam menuntut kerjasama erat antara agensi, kepimpinan dengan visi jelas, piawaian bersama serta platform digital yang menyokong pelaksanaan dasar.
Beliau menegaskan, fokus utama bukan sekadar kepada teknologi, tetapi kepada hasilnya iaitu produktiviti sektor awam yang lebih tinggi, penyampaian perkhidmatan lebih baik, kepercayaan rakyat yang meningkat serta keterangkuman digital yang lebih luas.
Dengan sokongan semua pihak, beliau yakin Malaysia mampu membina sebuah kerajaan dan ekonomi yang berdaya saing di peringkat global, berteraskan digital serta berpaksikan rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








