Aireen Omar terajui AI Malaysia, dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah pertama
KUALA LUMPUR – Aireen Omar dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah pertama AI Malaysia Berhad, badan yang dipertanggungjawabkan menerajui agenda kecerdasan buatan (AI) negara ke arah pembentukan Malaysia sebagai Negara AI menjelang 2030.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pelantikan itu susulan pelancaran AI Malaysia Berhad oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 Julai lalu, sekali gus memperkukuh usaha kerajaan memastikan pembangunan AI negara dilaksanakan secara selamat, bertanggungjawab dan berimpak.
“Lembaga Pengarah ini menghimpunkan barisan pemimpin daripada sektor awam dan swasta, dengan pengalaman merangkumi transformasi negara dan dasar awam, pembangunan ekonomi digital, pelaburan serta inovasi AI sekali gus membawa perspektif kerajaan dan industri yang saling melengkapi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aireen kini merupakan Ahli Lembaga Pengarah Tune Protect Group Berhad dan Profesor Adjung di Universiti Malaysia Sabah.
Beliau mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam transformasi perniagaan, teknologi dan pertumbuhan serantau, selain memberi tumpuan kepada usaha niaga teknologi berpertumbuhan tinggi, AI dan transformasi digital.
Selain Aireen, Lembaga Pengarah pertama AI Malaysia turut dianggotai Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Datuk Fabian Bigar; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Digital) Kementerian Digital, Ma Sivanesan Marimuthu; Ketua Pegawai Teknologi Digital Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Muhammad Afhzal Abdul Rahman serta Pengerusi Trendcell Sdn Bhd dan Pengarah MyTeksi, Foo Yen Ling Adelene.
Gobind berkata, komposisi Lembaga Pengarah itu turut mencerminkan pengalaman luas dalam bidang transformasi, dasar awam, ekonomi digital, pelaburan serta inovasi AI.
Katanya, AI Malaysia akan memainkan peranan penting dalam melaksanakan agenda AI negara termasuk Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030 secara terselaras dan berkesan.
“Pelantikan ini akan memperkukuh keupayaan institusi dan tadbir urus untuk membawa agenda AI daripada peringkat strategi kepada pelaksanaan yang terselaras dan memberi impak, dengan menekankan aspek akauntabiliti serta kepentingan jangka panjang negara,” katanya.
AI Malaysia Berhad ditubuhkan bagi menerajui agenda AI nasional, termasuk memastikan pembangunan dan penggunaan teknologi itu dilaksanakan secara selamat, bertanggungjawab serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








