BERITA SEMASA

Dari bilik mayat hingga peluang kedua, TV AlHijrah pertaruh empat karya fiksyen pelbagai genre

KUALA LUMPUR – Kisah peguam dengan sindrom Tourette, misteri di bilik mayat, penyiasatan paranormal serta perjalanan seorang bekas banduan kembali kepada Allah antara kelainan yang diketengahkan TV AlHijrah menerusi empat karya terbaharu.

Empat karya berkenaan membabitkan dua telefilem dan dua drama bersiri yang ditayangkan secara premium menerusi aplikasi penstriman digital AlHijrah Plus (AH+) sebelum disiarkan di saluran TV AlHijrah seminggu kemudian.

Empat judul berkenaan ialah Bersuara Tapi Tak Didengar, Mistik Bilik Mayat, Ghost Buskers dan Azan Terakhir Seorang Banduan yang merentasi genre drama perundangan, misteri, paranormal, dakwah dan kemanusiaan.

Pengurus Kanan Jabatan Kandungan TV AlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar berkata, pemilihan empat karya berkenaan dibuat dengan memberi perhatian kepada kekuatan cerita serta isu yang dekat dengan kehidupan masyarakat.

“Bagi TV AlHijrah, drama bukan sekadar ruang untuk bercerita atau menghiburkan. Ia juga ruang untuk kita membawa penonton melihat semula realiti di sekeliling mereka. Persoalan tentang prasangka, keadilan, kepercayaan, taubat dan peluang kedua.

“Kita mahu nilai Islam hadir secara semula jadi melalui cerita dan perjalanan watak, bukan sekadar melalui mesej yang disebut secara langsung,” katanya dalam kenyataan.

tv alhijrah
Sekitar majlis pengenalan empat karya baharu TV AlHijrah di Pusat Penyiaran Digital TV AlHijrah, Kuala Lumpur.

Bersuara Tapi Tak Didengar membuka tirai pada 6 September 2026, Ahad, pukul 9 malam menerusi aplikasi AH+.

Baca juga : TV AlHijrah rai ulang tahun ke-16, lancar AlHijrah Media Nexus di Cyberjaya

Telefilem berdurasi 120 minit arahan Heykal Hanifah terbitan Luqsar Kreatif itu mengisahkan Zaini, seorang peguam muda dengan sindrom Tourette yang berdepan diskriminasi dalam dunia profesional.

Selepas mewarisi sebuah firma guaman, Zaini berjuang mempertahankan maruah, integriti dan keadilan walaupun berhadapan dengan muslihat seorang peguam senior serta persepsi masyarakat. Drama itu dibintangi Nafiz Muaz, Rusdi Ramli dan Dato’ Hilal Azman.

Sementara itu, Mistik Bilik Mayat mula bersiaran di AH+ pada 22 September hingga 26 Oktober 2026, setiap Isnin dan Selasa, pukul 10 malam.

Siri lapan episod arahan Rashid Sibir terbitan Opera Klasik Film itu membawa penonton mendekati tema kematian, pengurusan jenazah dan pengebumian, iaitu ruang yang jarang diterokai secara mendalam dalam drama televisyen.

Pada masa sama, pelbagai kepercayaan mistik dan amalan yang berakar dalam masyarakat dirungkai menerusi perspektif Islam. Barisan pelakonnya termasuk Khir Rahman, Siti Elizad, Omar Abdullah dan Datuk Fauziah Nawi.

Kelainan diteruskan menerusi Ghost Buskers, sebuah siri lapan episod yang menggabungkan dunia nasyid, dakwah, ruqyah dan penyiasatan paranormal.

Kumpulan pemuzik yang menjadi pendakwah jalanan itu menangani kes misteri secara patuh syariah sambil menilai bukti dan penjelasan rasional.

Tidak semua yang disangka sebagai gangguan makhluk halus benar-benar berpunca daripada unsur paranormal kerana terdapat juga kes yang berkait dengan tekanan emosi, fenomena fizikal, penipuan atau scam berasaskan kepercayaan khurafat.

Terbitan Sha’s Media arahan Eoon Shuhaini itu menampilkan UNIC, Nabila Razali, Sharifah Rose dan Jazmy Juma serta bersiaran dari 20 Oktober hingga 16 November 2026, setiap Isnin dan Selasa, pukul 10 malam menerusi AH+.

Azan Terakhir Seorang Banduan pula mengangkat kisah Zack, seorang bekas banduan yang mahu memulakan hidup baharu tetapi terus dihukum oleh masa lalunya.

Ditolak masyarakat dan keluarga, Zack menjadikan surau sebagai tempat kembali dan kekal istiqamah mengimarahkan surau itu dengan azan serta ibadah. Kisah berkenaan membawa tema taubat, pengampunan, stigma masyarakat dan peluang kedua.

Telefilem arahan Jamal Khan terbitan Cinema Stage itu dibintangi Redza Rosli, Rosnah Johari, Zaidi Omar dan Amir Khan serta dijadualkan bersiaran pada 11 Oktober 2026, Ahad, pukul 9 malam menerusi AH+.

tv alhijrah
Pengurus Kanan Jabatan Kandungan TV AlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar ketika sidang media selepas memperkenalkan empat karya baharu TV AlHijrah.

Zulkarnaen berkata, kepelbagaian format dan genre yang ditampilkan memberi ruang kepada mesej dakwah disampaikan menerusi pendekatan berbeza dan lebih dekat dengan cita rasa penonton masa kini.

“TV AlHijrah tidak mahu mengehadkan kandungan dakwah kepada satu bentuk atau genre sahaja. Cerita tentang seorang peguam dengan sindrom Tourette, misteri di bilik mayat, penyiasatan paranormal ataupun perjalanan seorang bekas banduan untuk kembali kepada Allah, semuanya boleh menjadi ruang dakwah apabila digarap dengan ilmu, tanggungjawab dan sensitiviti.

“Bagi kami, hiburan mesti ada nilai, tetapi nilai itu juga perlu sampai kepada penonton melalui cerita yang mereka mahu tonton,” katanya.

Menerusi dua telefilem dan dua drama bersiri itu, TV AlHijrah meneruskan usaha menyediakan kandungan yang membawa nilai Islam serta menyentuh persoalan dekat dengan masyarakat.

Penonton boleh mengikuti kesemua judul menerusi aplikasi AlHijrah Plus mengikut jadual siaran ditetapkan sebelum disiarkan di saluran TV AlHijrah seminggu kemudian

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button