Malaysia-Iran perkukuh hubungan, gesa konflik Asia Barat diselesaikan secara diplomasi
NEW DELHI – Malaysia dan Iran bersetuju memperkukuh hubungan persahabatan serta meneroka peluang kerjasama lebih luas dalam pelbagai bidang ketika pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Iran, Dr Masoud Pezeshkian di sini hari ini.
Anwar berkata, pertemuan itu turut membincangkan perkembangan konflik dan ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat.
Menurutnya, Malaysia menyuarakan kebimbangan terhadap konflik yang berlarutan serta menggesa semua pihak menghentikan tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan.
“Malaysia menggesa semua pihak kembali ke meja rundingan serta mengutamakan dialog dan diplomasi bagi menyelesaikan pertikaian secara aman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar berkata, Malaysia turut menegaskan bahawa kebebasan dan keselamatan laluan maritim melalui Selat Hormuz perlu terus dipelihara selaras dengan undang-undang antarabangsa.
Katanya, sebarang gangguan terhadap laluan strategik itu boleh memberi kesan besar terhadap keselamatan tenaga, perdagangan dan ekonomi dunia.
Dalam pertemuan berkenaan, kedua-dua pemimpin turut meneroka usaha memperluas perdagangan dan pelaburan Malaysia-Iran, khususnya dalam sektor tenaga, pertanian, minyak sawit, keterjaminan makanan, industri halal, teknologi dan pendidikan tinggi.
Anwar berkata, selepas mesyuarat dua hala, beliau turut berkesempatan berbicara secara empat mata dengan Masoud.
“Insya-Allah Malaysia sedia menterjemahkan hubungan persahabatan ini kepada kerjasama yang lebih bermakna dan berterusan demi manfaat rakyat kedua-dua negara,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








