PRU16: Seeloknya tunggu hingga awal 2028 – Saifuddin
PEKAN – Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) lebih afdal diadakan selepas tempoh pemerintahan kerajaan semasa hampir tamat pada awal 2028, berbanding dilaksanakan dalam masa terdekat.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tempoh lebih setahun yang masih berbaki wajar dimanfaatkan kerajaan untuk memastikan kestabilan pentadbiran, mengurus ekonomi dengan cermat serta memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat.
“Sekarang baru September 2026, banyak benda lagi kita boleh manfaatkan kedudukan kerajaan sekarang, jaga kestabilan, elok urus ekonomi dengan cermat dan tumpu kebajikan rakyat.
“Setahun lebih ini masa cukup lumayan untuk kita tumpu kepada menunaikan amanah kepimpinan dan menjaga kebajikan rakyat,” katanya pada Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat dan Sekolah Angkat MADANI di Sekolah Kebangsaan Nenasi, di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan UMNO mahu PRU16 diadakan segera bagi memberi ruang kepada parti itu mendapatkan semula mandat rakyat untuk menerajui kepimpinan negara.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, PRU16 menjadi detik penentuan bagi membuktikan UMNO bukan sekadar pelengkap dalam kerajaan.
Mengulas ucapan dasar Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO semalam, Saifuddin berkata, ucapan itu menyentuh pelbagai perkara yang berpaksikan kepentingan agama, bangsa dan negara.
Katanya, Presiden UMNO juga jelas menyatakan hasrat parti itu untuk memposisikan UMNO sebagai sebuah parti yang mampu memimpin kerajaan pada PRU16 akan datang.
“Tidak salah semua parti boleh menyimpan hasrat, menyimpan cita-cita atau menyusun matlamat untuk menjadi memimpin kerajaan, tiada masalah, itu normal,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








