Politik wang: Ramanan nafi dakwaan, fitnah harus dihentikan
SHAH ALAM – Calon Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri R Ramanan menafikan menggunakan politik wang untuk membeli sokongan individu tertentu dalam pemilihan parti itu.
Ramanan berkata, rakaman video yang tular sebenarnya berlaku selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor dan sumbangan yang diberikan adalah kepada pekerja kempennya sendiri, bukan kepada pengundi.
“Saya beri wang kepada pekerja saya di luar pusat khidmat. Kalau kita lihat, pintu itu ada logo Pakatan Harapan, jadi apa salahnya?” katanya memetik laporan Sinar Online.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Seminar Asas Keusahawanan Tekun Nasional di sini, hari ini.
Dalam pada itu Ramanan turut mengecam penyebaran video tersebut yang didakwanya berniat jahat untuk mencemar imejnya serta menyifatkannya sebagai satu bentuk fitnah.
“Politik kotor sebegini sangat teruk. Ini fitnah, dan dalam Islam, fitnah itu dosanya lebih besar daripada membunuh. Harap mereka belajar sedikit, kerana budaya fitnah ini sangat tidak baik,” tegasnya.
Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, isu berkenaan sengaja diungkit kembali walaupun ia berlaku lama dahulu, dan tidak membabitkan sebarang pelanggaran undang-undang pilihan raya.
“Ini bukan isu baharu. Disebabkan sekarang musim pemilihan parti, maka banyak perkara akan diputar belit dan disalah tafsir,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








