BERITA SEMASA

‘Victor sengaja buat tuduhan untuk dapatkan suaka politik di UK’ – Ramanan

SUNGAI BULOH – Naib Presiden PKR, Datuk Seri R Ramanan mendakwa Victor Chin sengaja membuat tuduhan terhadap kerajaan dan parti politik tempatan bagi membina naratif untuk mendapatkan suaka politik di United Kingdom (UK).

Beliau berkata, dakwaan dibuat individu itu dilihat sebagai strategi untuk mengelak tindakan undang-undang dengan menyalahkan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan.

“Ini adalah strategi untuk menggambarkan dirinya sebagai mangsa supaya dia boleh mendapatkan suaka politik di United Kingdom.

“Sebab itu dia menyalahkan UMNO, dia menyalahkan SPRM, dia menyalahkan Bank Negara, dia menyalahkan polis, dia menyalahkan semua,” katanya dalam satu sidang media khas di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh, hari ini.

Kata Ramanan, individu yang tidak melakukan kesalahan sepatutnya kembali ke Malaysia dan menghadapi siasatan, bukannya membuat pelbagai tuduhan dari luar negara.

“Kalau anda (Victor) tidak buat apa-apa salah, baliklah. Hadapi siasatan. Jangan duduk di luar negara dan membuat tuduhan liar untuk mengaitkan orang lain,” katanya lagi.

Beliau turut mempersoalkan tindakan individu terbabit yang didakwa terus membuat pelbagai tuduhan tanpa mengemukakan bukti kukuh.

Semalam, Victor mendakwa seorang Ahli Parlimen PKR meminta bayaran RM10 juta bagi membantu menyelesaikan isu yang didakwanya sebagai skandal mafia korporat, namun baki RM500,000 tidak dibayar kerana masalah itu tidak diselesaikan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button