BERITA SEMASA

TV AlHijrah sasar 600 usahawan IKS sertai program Percuma Jer

SHAH ALAM – TV AlHijrah menyasarkan 600 usahawan dalam kalangan industri kecil dan sederhana (IKS) untuk menyertai program Percuma Jer yang akan mula bersiaran menerusi saluran TV AlHijrah pada 1 Februari depan.

Menurut Ketua Pegawai Operasi TV AlHijrah, Nadzariah Mohamed, bertumpu kepada Teras Kesejahteraan Insan, program tersebut diperkenalkan bagi memperkasa kemampanan ekonomi Islam di samping memperkukuh kebajikan sosial dan perpaduan ummah.

Nadzariah Mohamed.

Beliau berkata, program yang dijadual bersiaran setiap Isnin hingga Khamis pada jam 6-7 petang itu juga bakal tampil dengan konsep menarik iaitu pemberian sampel produk secara percuma kepada penonton rancangan tersebut.

“Program ini menjanjikan kelainan iaitu memfokuskan pemasaran produk di kaca televisyen dengan konsep baharu dan pertama kali seumpamanya di Malaysia memberikan demonstrasi, promosi serta yang paling utama adalah sampel barangan percuma kepada penonton TV AlHijrah,” katanya dalam satu sidang media di sini, semalam.

Yang hadir sama, rakan strategik program yang juga Pengasas Pasak Sdn Bhd, Ku Addy Fazly Ku Radin.

Menurut Nadzariah lagi, program taruhan terbaharu TV AlHijrah ini juga adalah bagi menyahut Pelan Transformasi Al-Falah diperkenalkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Tambah Nadzariah, menerusi Percuma Jer penonton berpeluang untuk mengurangkan risiko ketidakadilan, penipuan, penindasan dalam aktiviti perekonomian jual beli.

Ini kerana, kata beliau, mereka berpeluang untuk menerima sampel barangan tersebut dahulu secara percuma, seterusnya membuat keputusan tepat untuk proses jual beli selanjutnya.

“Saya percaya, proses pemberian sampel barangan secara percuma ini membantu para pembeli untuk membuat pembelian bijak.

“Secara tidak langsung, etika Islam dalam jual beli dapat dijaga dan dicapai. Dengan itu, kebajikan pelanggan dan pengguna terjamin dalam kontrak jual beli,” katanya.

Gimik pelancaran program Percuma Jer.

Mengulas lanjut, Nadzariah berkata, penonton boleh mendapatkan sampel percuma tersebut dengan mengikuti langkah-langkah mudah iaitu dengan hanya perlu menonton rancangan tersebut di TV AlHijrah.

Seterusnya, penonton juga perlu memuat turun aplikasi Al Hijrah Plus di Apple Apps Store atau Google Play Store. Setelah itu, mereka perlu mengimbas kod QR untuk memiliki barangan sampel yang dikehendaki.

Akhir sekali, pemilik produk akan menghantar barangan sampel tersebut menggunakan syarikat kurier kepada para penonton tanpa mengenakan sebarang caj penghantaran.

Sebagai rekod, Program Percuma Jer akan dihoskan oleh hos dalaman TV AlHijrah iaitu Hanan Abdul Rahman, Ola Nordin dan Dewita Susila.

Dalam pada itu, lebih daripada 400 barangan sampel produk pelbagai jenis seperti barangan makanan, produk kecantikan dan kesihatan, barangan IT dan pelbagai lagi barangan sampel akan ditawarkan sepanjang program tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button