JENAYAH & MAHKAMAH

Polis trafik maut motosikal bergesel tayar lori

KLANG – Seorang anggota polis trafik maut selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan tayar sebuah lori dalam kemalangan di Jalan Kebun, di sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 8 malam itu, Koperal Izwan Napiah, 41, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asistan Komisioner Lim Jit Huey berkata, mangsa merupakan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dan telah berkhidmat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 22 tahun.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa sedang menunggang motosikal dari arah Jalan Kebun menghala ke Rimbayu ketika kejadian.

“Semasa bergerak lurus di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai bergesel dengan bahagian tayar sebuah lori yang dipandu seorang lelaki warga tempatan.

“Akibat pergeseran itu, mangsa hilang kawalan lalu terjatuh di atas jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim berkata, pasukan perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.

Katanya, bedah siasat dijalankan pada pukul 9 pagi semalam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan secara melulu atau berbahaya,” katanya.

Beliau meminta orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Klang Selatan atau mana-mana balai polis berhampiran.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button