BERITA SEMASA

Pelajar dilanggar di sekolah sudah dipindah ke wad biasa

KOTA BHARU – Pelajar perempuan yang parah akibat dilanggar kereta dipandu guru wanita di depan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas, Ahad lalu sudah dipindahkan ke wad biasa.

Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Mohd Azman Yacob, pelajar berusia 13 tahun itu juga akan menjalani tampalan baik pulih di telinga, Isnin ini, lapor HM Online.

“Alhamdulillah pelajar berkenaan sudah dipindahkan ke wad biasa selepas menjalani pembedahan minggu lalu.

“Selepas ini kita akan melakukan tampalan baik pulih di telinga mangsa yang dijadualkan Isnin ini.

“Bagaimanapun pelajar berkenaan dijangka perlu berada di hospital dalam tempoh agak lama bagi memastikan keadaannya baik selain mengelak berlaku jangkitan kuman,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Terminal Baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), di sini hari ini.

Tambah beliau, pelajar berkenaan juga sudah diberikan Bantuan Awal Psikologi (PFA) bagi proses pemulihan secara menyeluruh.

“Alhamdulillah kita sudah mulakan PFA kerana ia membabitkan kejadian yang tiba-tiba dan kita bersama pakar psikiatri akan pastikan emosi beliau kembali stabil,” katanya lagi.

Dalam kejadian Ahad lalu itu, seorang pelajar Tingkatan Satu, Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, maut manakala seorang lagi parah selepas dilanggar kenderaan yang dipandu seorang wanita.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri dilaporkan berkata, kejadian jam 1.50 tengahari itu membabitkan sebuah kereta dipandu seorang guru dan dua pelajar perempuan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pemandu wanita tersebut dipercayai tertekan pedal minyak kenderaan lalu terbabas sebelum melanggar dua pelajar berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button