BN Plus formula hadapi PRN Melaka – Ab Rauf
KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) akan menggunakan formula kerjasama BN Plus pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang, dengan rakyat turut diberi ruang memilih rakan strategik terbaik untuk membentuk kerajaan negeri.
Ketua Menteri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, bagaimanapun, setakat ini BN belum mengadakan rundingan dengan mana-mana pihak bagi menghadapi PRN Melaka ke-16.
“Saya menegaskan bahawa perundingan dengan mana-mana parti politik yang berminat untuk berada di pentas demokrasi Melaka hanya dibuat selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya kepada pemberita ketika melawat Laman Media Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), di sini hari ini.
Mengulas mengenai pembubaran DUN Melaka, beliau berkata perkara itu akan diumumkan dalam tempoh terdekat.
“Bila tiba waktunya nanti, saya akan beritahu tetapi yang pasti, waktunya tidak berapa panjang dan tidak berapa pendek,” katanya.
Dalam pada itu, Ab Rauf mengulangi pendirian BN untuk mempertahankan kesemua 21 daripada 28 kerusi DUN yang dimenangi pada PRN sebelum ini.
“Kita tak boleh berkompromi untuk 21 kerusi ini dikongsi dengan orang lain… yang tujuh itu, parti-parti yang menang, bertandinglah… dia pertahankan kerusi dia, kita pertahankan kerusi yang kita menang,” katanya.
Pada PRN Melaka ke-15, BN membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN manakala Pakatan Harapan memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional dua kerusi.
Mandat Kerajaan Negeri Melaka akan berakhir pada 31 Disember ini. – BERNAMA
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








