BERITA SEMASAPOLITIK

Prestasi lima tahun jadi taruhan Mohd Noor Helmy pertahan DUN Duyong

DUYONG – Pencapaian dan rekod perkhidmatan sepanjang lima tahun memegang mandat sebagai wakil rakyat menjadi kelebihan yang mahu diketengahkan Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dalam usaha mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Penyandang kerusi itu berkata, tumpuannya kini adalah memastikan pengundi dapat menilai sendiri hasil kerja yang telah dilaksanakan sepanjang tempoh perkhidmatannya, berbanding hanya bergantung kepada janji ketika berkempen.

“Jadi, macam mana langkah seterusnya? Saya perlu berkempen, menaburkan janji, menunjukkan bukti dan memastikan bagaimana rakyat akan memilih nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas proses penamaan calon di Kompleks Japerun Duyong, hari ini.

Menurut Mohd Noor Helmy, tempoh lima tahun lalu merupakan antara perkara penting yang bakal menjadi pertimbangan pengundi sebelum menentukan wakil rakyat pilihan mereka.

“Pastinya prestasi sepanjang lima tahun yang lepas akan menjadi sandaran. Hari ini, ramai akan menilai apa yang telah terhasil dan apa yang telah diberikan sepanjang lima tahun,” katanya.

Jelasnya, segala pencapaian yang direkodkan sepanjang tempoh pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini juga akan dijadikan antara bahan utama untuk diketengahkan sepanjang tempoh kempen.

Mengulas peluang berdepan calon Pakatan Harapan (PH), Poo Long Suan, beliau tidak memandang ringan kemampuan pencabarnya yang mempunyai pengalaman dalam bidang perkhidmatan awam sebagai bekas ahli majlis.

“Pastinya beliau yang juga sahabat saya, pastinya akan mempunyai cabaran dan tentangan yang hebat dalam persaingan sihat kita pada pilihan raya kali ini,” ujarnya.

Pada PRN Melaka 2021, Mohd Noor Helmy berjaya memenangi DUN Duyong dengan majoriti tipis 200 undi selepas memperoleh 4,684 undi, mengatasi calon DAP ketika itu, Damian Yeo Shen Li yang mendapat 4,484 undi.

PRN Melaka kali ini menyaksikan pengundian awal ditetapkan pada 10 November, manakala hari mengundi pula berlangsung pada 14 November.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button