Calon termuda AMANAH bukan calang-calang, yakin bawa perubahan di Kuala Linggi – Faiz Fadzil
KUALA SUNGAI BARU – Parti Amanah Negara (AMANAH) yakin calon termudanya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah atau Mukhlis Mubin mampu membawa nafas baharu serta mencetuskan perubahan di kawasan berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Setiausaha Agung AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil berkata, usia muda Mukhlis bukan halangan, malah menjadi antara kekuatan calon berkenaan yang mempunyai latar belakang pendidikan undang-undang serta merupakan anak jati Kuala Linggi.
Menurutnya, Mukhlis yang berusia 23 tahun juga mempunyai pengalaman mendekati masyarakat setempat dan memahami isu yang dihadapi penduduk, termasuk golongan nelayan.

“Yang menarik mengenai Kuala Linggi ini adalah calon anak muda daripada AMANAH. Kita bukan baharu dalam meletakkan calon-calon muda dalam pilihan raya, tetapi kali ini lebih hebat kerana beliau merupakan calon paling muda.
“Beliau seorang graduan yang masih segar dengan latar belakang pengajian undang-undang yang sangat relevan dengan bidang legislatif. Beliau tahu tentang undang-undang dan yang paling penting, beliau adalah anak jati Kuala Linggi yang telah lama bergelumang dengan masalah masyarakat di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas proses penamaan calon PRN Melaka di Dewan Kompleks Japerun Kuala Linggi, di sini hari ini.
Faiz berkata, Mukhlis turut mempunyai rekod penglibatan bersama masyarakat setempat, termasuk turun padang menyantuni golongan nelayan dan memahami isu yang dihadapi mereka.
Katanya, pengalaman serta latar belakang berkenaan membolehkan Mukhlis membawa idea baharu bagi membangunkan Kuala Linggi yang menurutnya masih ketinggalan berbanding kawasan lain di Melaka.
“Saya pasti dengan kekuatan yang ada pada generasi Z ini, kebijaksanaan dan juga pencetusan idea beliau untuk mengusahakan bagaimana nak membangunkan lagi Kuala Linggi ini, Kuala Linggi memerlukan perubahan.
“Kita tengok Kuala Linggi ini jauh ketinggalan berbanding kawasan lain di Melaka,” katanya.
Faiz berkata, walaupun Mukhlis masih muda, beliau yakin calon itu mempunyai kematangan politik hasil pendedahan sejak kecil, selain pernah menyertai pertandingan pidato dan mewakili negara di peringkat antarabangsa.
“Walaupun beliau muda, saya percaya beliau sangat matang dalam politik kerana telah didedahkan dan dididik dengan politik sejak kecil.
“Apatah lagi, beliau pernah menjadi juara pidato dan mewakili negara di peringkat antarabangsa. Ini memberikan indikasi kepada kita bahawa calon yang kita tampilkan ini bukan calang-calang,” katanya.
Dalam pada itu, Faiz berkata AMANAH yakin rekod pentadbiran Pakatan Harapan (PH) menjadi antara kekuatan yang boleh diketengahkan kepada pengundi dalam PRN Melaka.
Katanya, pengalaman mentadbir sebelum ini menunjukkan kemampuan PH dalam aspek kestabilan politik dan pengurusan ekonomi.
“Kita yakin kepimpinan dan juga calon-calon yang ditampilkan oleh Pakatan Harapan dan AMANAH ini adalah mereka yang berkemampuan untuk mentadbir dari sudut tadbir urus yang bersih, terurus dan juga bijak,” katanya.
Beliau turut menggesa pengundi membuat pertimbangan berdasarkan masa depan kawasan dan negeri, bukannya semata-mata sentimen atau emosi.
“Saya yakin pengundi harus bijak kali ini untuk memilih, bukan berdasarkan sentimen, bukan berdasarkan emosi, tetapi fikir tentang masa depan.
“Masa depan kita harus diuruskan oleh sebuah kerajaan yang baik dan bersih,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








