Kementerian Digital pacu transformasi negara, fokus negara AI
KUALA LUMPUR – Kementerian Digital (KD) menegaskan komitmennya memacu transformasi digital negara dengan menekankan tiga bidang utama iaitu kerajaan digital, ekonomi digital dan pembangunan masyarakat digital sepanjang dua tahun penubuhannya.

Majlis Apresiasi dan Sambutan Ulang Tahun Kedua KD berlangsung di Hotel Pavilion, Kuala Lumpur, disempurnakan Menteri Digital, Gobind Singh Deo, dan dihadiri Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak anak Kumbong serta Ketua Setiausaha KD, Fabian Bigar.
Gobind berkata, sepanjang dua tahun, KD telah memacu kerajaan digital melalui penubuhan Unit GovTech Malaysia, mewartakan Akta Perkongsian Data 2025 serta memperkasakan aplikasi MyGOV Malaysia dan portal MyGovernment termasuk untuk bukan warganegara.
Dalam aspek ekonomi digital, kementerian melancarkan Dasar Pengkomputeran Awan Negara, menyediakan geran penggunaan 5G untuk industri, menjalin MoU dengan China dan Kyrgyz bagi transformasi digital serta keselamatan siber, selain memperkenalkan Kod Etika AI dan kerangka kawal selia adaptasi AI.
Bagi pembangunan masyarakat digital, KD menganjurkan Jelajah Malaysia Digital 2025, Program Executive Digital Leadership, inisiatif Rakyat Digital dan Modul Etika Siber Nasional.
“Tahun 2025 menandakan Malaysia menonjol sebagai peneraju digital serantau bersempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
“KD memainkan peranan penting dalam membentuk dasar digital serantau melalui pelbagai platform antarabangsa,” katanya lagi.
Gobind menambah, kementerian kini menumpukan perhatian kepada Pelan Pelaksanaan Dasar RMK-13 dan Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 bagi merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai Negara AI, termasuk pembangunan infrastruktur digital bertaraf dunia, pembentukan bakat AI tempatan serta pengukuhan tadbir urus AI.
Dengan pencapaian signifikan sejak penubuhan, KD bertekad memastikan Malaysia muncul sebagai peneraju kecerdasan buatan di peringkat global.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








