BERITA SEMASA

Kementerian Digital lancar platform ‘Rakyat Digital’, esok

KUALA LUMPUR – ‘Rakyat Digital’, iaitu satu platform pembelajaran dalam talian baharu, akan dilancarkan esok.

Menurut Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong, platform ini dilancarkan susulan kejayaan ‘AI Untuk Rakyat’ dengan tujuan untuk melengkapkan rakyat dengan kemahiran dan pengetahuan digital.

“Menerusi platform ini, setiap lapisan masyarakat boleh mendapatkan pengetahuan umum dalam aspek teknologi baharu termasuk dalam bidang kecerdasan buatan (AI).

“Ia sebagai satu saluran pembelajaran interaktif bagi memperluas pengetahuan umum berhubung teknologi digital serta membina bakat baharu mengikut modul khusus yang disediakan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Wilson berkata demikian bagi menjawab soalan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) yang bertanyakan mengenai pencapaian program ‘AI untuk Rakyat’ dan kesiapsiagaan ekosistem pembelajaran AI di institusi pendidikan, sektor swasta serta kerajaan.

Wilson seterusnya memberitahu, sehingga 9 Disember lalu, program ‘AI Untuk Rakyat’ telah mencapai seramai 1.30 juta peserta daripada pelbagai kumpulan, termasuk pelajar, profesional dan pegawai kerajaan.

“‘AI Untuk Rakyat’ merupakan program selaras dengan inisiatif Pelan Ekonomi Digital Malaysia dan strategi IR 4.0.

“Ia menekankan pembinaan populasi yang celik teknologi, memupuk inovasi dan mengurangkan jurang kemahiran digital,” katanya lagi.

Beliuai kemudiannya memaklumkan, menerusi Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan atau National AI Office (NAIO) yang baru sahaja ditubuhkan, Kementerian Digital akan bekerjasama dengan setiap entiti tersebut bagi merangka modul pembelajaran AI bersesuaian mengikut kumpulan sasar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button