Kementerian Digital beri jaminan isu pas pekerjaan bakat teknologi ditangani secara menyeluruh
KUALA LUMPUR – Kementerian Digital memberi jaminan isu pemprosesan Pas Pekerjaan (EP) bagi bakat teknologi kini sedang diteliti secara aktif dan menyeluruh bagi memastikan kelancaran ekosistem Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) negara.
Kementerian itu memaklumkan pelbagai sesi libat urus sedang giat dilaksanakan bersama agensi berkaitan termasuk Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) serta pemain industri.
“Pendekatan berkenaan bertujuan memahami secara menyeluruh kebimbangan yang dibangkitkan, di samping mengenal pasti langkah penambahbaikan bersesuaian bagi jangka pendek dan panjang,” menurut kenyataan itu hari ini.
Kementerian Digital menjelaskan, sektor GBS merupakan antara pemacu utama ekonomi digital negara yang menyumbang signifikan kepada pelaburan, penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab digital serantau.
Sehubungan itu, MDEC telah mempergiat usaha bagi menangani peningkatan ketara dalam jumlah permohonan baharu, termasuk menambah kapasiti tenaga kerja bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
“Selain itu, MDEC turut melaksanakan sesi libat urus bersama persatuan industri utama seperti GBS Malaysia (Majlis Perkhidmatan Perniagaan Global Digital Malaysia, cabang PIKOM) dan Contact Centre Association of Malaysia (CCAM) bagi memaklumkan perkembangan semasa,” menurut kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, Kementerian Digital menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh penyelarasan dengan agensi berkaitan selain melaksanakan penambahbaikan proses secara berterusan bagi mempercepat tempoh kelulusan dengan lebih lancar.
“Maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa selaras dengan perkembangan semakan dan hasil sesi libat urus semua pihak berkaitan,” tambah kenyataan itu lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








