BERITA SEMASALUAR NEGARA

600 pekerja bahagian AI ditamatkan, Meta fokus percepat cara kerja

WASHINGTON – Gergasi teknologi Meta Platforms mengumumkan pemberhentian kira-kira 600 pekerja di bahagian kecerdasan buatan (AI) sebagai langkah mempercepat proses membuat keputusan dan memperkemas struktur operasi syarikat.

Langkah itu diumumkan Ketua Pegawai AI Meta, Alexandr Wang, menerusi satu memo dalaman yang disahkan oleh jurucakap syarikat berkenaan.

Wang menyertai Meta pada Jun lalu selepas pelaburan bernilai AS$14.3 bilion dalam Scale AI.

Menurut beliau, penstrukturan semula itu dijangka menjadikan pasukan AI Meta lebih tangkas dan berfokus, di samping mengurangkan kerenah birokrasi yang dikatakan menjejaskan kelancaran pembangunan teknologi.

“Melalui langkah ini, Meta berharap dapat mempercepat proses membuat keputusan dan mengukuhkan hala tuju strategik dalam bidang AI,” katanya.

Walaupun pemberhentian besar-besaran diumumkan, makmal TBD yang baru ditubuhkan tidak terjejas.

Namun penstrukturan melibatkan kakitangan di bahagian infrastruktur AI, Penyelidikan Asas AI (Fundamental Artificial Intelligence Research) serta unit yang menumpukan kepada pembangunan produk.

“Pekerja dimaklumkan mengenai keputusan itu semalam, dengan tarikh penamatan perkhidmatan ditetapkan pada 21 November.

“Mereka akan menerima pampasan selama 16 minggu, selain tambahan dua minggu gaji bagi setiap tahun perkhidmatan,” memetik laporan berita antarabangsa.

Dalam masa sama, Meta turut menggalakkan pekerja terbabit untuk memohon jawatan lain di dalam syarikat.

Sementara itu, laporan media antarabangsa mendedahkan Ketua Pegawai Eksekutif, Mark Zuckerberg, dikatakan tidak berpuas hati dengan kemajuan perlahan pembangunan AI selepas tindak balas bercampur terhadap model Llama 4.

Meskipun berdepan pengurangan tenaga kerja, Meta tetap meneruskan pelaburan besar dalam sektor AI, termasuk perjanjian AS$27 bilion (RM126.9 bilion) dengan Blue Owl Capital bagi membiayai pembangunan pusat data Hyperion di Louisiana.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button