7,057 pekerja hilang pekerjaan pada April
KUALA LUMPUR – Seramai 7,057 pekerja di negara ini dilaporkan kehilangan pekerjaan pada April lalu.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, walaupun angka itu meningkat berbanding 5,855 pekerja pada Mac, trend keseluruhan kehilangan pekerjaan masih lebih rendah berbanding 10,658 kes pada Januari dan 7,512 kes pada Februari.
Menurut beliau, kerajaan akan terus memberi perhatian terhadap perkembangan tersebut kerana setiap statistik yang direkodkan melibatkan keluarga yang kehilangan sumber pendapatan.
“Walau apa pun perkembangan ini kita akan terus berikan perhatian kerana kita sedar setiap satu angka yang kita laporkan walaupun mungkin dilaporkan secara statistik, ia mewakili keluarga yang hilang punca pendapatan,” katanya dalam siaran langsung Taklimat Krisis Bekalan Global.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata sektor logistik negara khususnya pengangkutan maritim kekal berdaya tahan apabila pengendalian kargo di pelabuhan meningkat 8.3 peratus kepada 848.9 ribu tan berat standard setakat April 2026.
Katanya, pengendalian kontena turut meningkat 8.3 peratus kepada 93.1 ribu TEUs meskipun sektor perdagangan global terus berdepan tekanan kos penghantaran, premium insurans dan risiko gangguan laluan antarabangsa.
“Aktiviti perdagangan maritim dan rangkaian bekalan negara masih berjalan dengan baik meskipun tekanan terhadap kos penghantaran, premium insurans dan risiko gangguan laluan global terus meningkat,” katanya.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan sektor penerbangan negara kini berdepan tekanan lebih ketara apabila pergerakan pesawat harian pada April merosot 31.5 peratus kepada 2,464 penerbangan susulan pembatalan laluan ke Asia Barat serta langkah rasionalisasi operasi oleh syarikat penerbangan.
Selain itu, pengendalian kargo udara antarabangsa turut menurun 14.3 peratus kepada 1,784 kilogram manakala kargo udara domestik susut 18 peratus kepada 420 kilogram akibat peningkatan kos bahan api dan pelarasan operasi syarikat penerbangan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








