JENAYAH & MAHKAMAH

Syarikat pembersihan didenda RM3,000 gagal lapor kemalangan kerja

BALIK PULAU – Sebuah syarikat perkhidmatan pembersihan, Syarikat RT Jaya Sdn Bhd dikenakan denda sebanyak RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Balik Pulau semalam selepas gagal melaporkan kemalangan maut melibatkan pekerjanya pada 9 Januari 2023.

Majistret Chia Huey Ting menjatuhkan hukuman tersebut selepas syarikat berkenaan mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibuat mengikut Peraturan 5(1)(a)(aa) Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pemberitahuan Mengenai Kemalangan, Kejadian Berbahaya, Keracunan Pekerjaan dan Penyakit Pekerjaan) 2004 di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun, atau kedua-duanya sekali.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) berkata, majikan berkenaan gagal segera memaklumkan kemalangan maut kepada pegawai JKKP berhampiran seperti yang diwajibkan undang-undang.

“Perbuatan gagal melaporkan kemalangan ini merupakan satu pelanggaran serius terhadap peraturan keselamatan dan kesihatan pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

JKKP berharap kes itu menjadi iktibar kepada semua majikan dan pekerja supaya lebih bertanggungjawab serta mematuhi undang-undang bagi memastikan keselamatan pekerja dan kepentingan awam sentiasa terpelihara.

“Keselamatan di tempat kerja adalah tanggungjawab bersama dan sebarang kejadian yang berlaku harus dilaporkan segera untuk tindakan susulan,” menurut kenyataan itu lagi.

Tindakan tegas seperti itu akan diteruskan bagi memastikan pematuhan undang-undang keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button