JENAYAH & MAHKAMAH

Terlepas tembakan pump gun, pengawal keselamatan bank disiasat

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang pengawal keselamatan yang secara tidak sengaja melepaskan satu das tembakan ke arah lantai di sebuah institusi kewangan di Jalan PJU 5/14, Kota Damansara, Petaling Jaya semalam menyebabkan cermin di bahagian pintu masuk di situ pecah.

Timbalan Ketua Polis Petaling Jaya, M Hussin Sollehuddin Zolkifly, berkata bagaimanapun, kejadian itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Beliau berkata polis menerima pemakluman kes itu pada 10.13 pagi tadi daripada orang awam yang mendengar bunyi tembakan di institusi kewangan itu sebelum sepasukan polis dari IPD Petaling Jaya ditugaskan ke lokasi.

“Hasil siasatan mendapati pengawal keselamatan berumur 50-an itu menggunakan senjata jenis pump gun telah melepaskan satu das tembakan ke arah lantai sehingga menyebabkan cermin di bahagian pintu masuk telah pecah.

“Tiada sebarang cubaan samun dan pengawal keselamatan itu juga negatif dadah. Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

M Hussin Sollehuddin meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes itu menghubungi bilik gerakan IPD Petaling Jaya melalui talian 03-79662222.

“Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melakukan sebarang perbuatan jenayah,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button