Gajikan pekerja China tanpa permit, pengurus restoran ditahan
LABUAN – Polis menahan seorang wanita yang dipercayai bertindak sebagai pengurus sebuah restoran di sini selepas didapati menggajikan sembilan pekerja warga China tanpa permit kerja sah dalam satu serbuan kelmarin.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, serbuan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan hasil risikan dan maklumat awam.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati wanita terbabit bekerja sebagai pengurus premis, manakala tujuh lelaki dan dua wanita warga China berusia antara 18 hingga 53 tahun bertugas sebagai pelayan serta tukang masak di restoran berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati semua pekerja warga asing terbabit tidak memiliki permit kerja yang sah dan dipercayai telah bekerja di premis tersebut sejak Julai 2025,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mohd Hamizi berkata, polis menahan semua individu terlibat serta merampas beberapa dokumen bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Permohonan reman terhadap semua tangkapan telah dibenarkan sehingga 9 Februari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, siasatan masih diteruskan dan orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau pelanggaran undang-undang kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








