China mula bina empangan terbesar dunia, India dan Bangladesh gusar kesan ekologi
BEIJING – China memulakan pembinaan empangan hidroelektrik terbesar dunia yang terletak di wilayah Tibet, satu projek mega yang menimbulkan kebimbangan mendalam dalam kalangan negara jiran termasuk India dan Bangladesh.
Empangan yang dikenali sebagai Empangan Motuo itu dibina di Sungai Yarlung Tsangpo – aliran utama yang mengalir ke India dan Bangladesh sebagai Sungai Brahmaputra dan Jamuna.
Projek tersebut dianggarkan menelan kos RM710 bilion dan dijangka menjana lebih 300 bilion kilowatt-jam elektrik setahun, menjadikannya tiga kali ganda lebih berkuasa berbanding Empangan Three Gorges yang kini merupakan empangan terbesar China.
Langkah itu sekaligus mencetuskan reaksi segera dari Kerajaan India yang khuatir pembinaan empangan tersebut akan memberi kesan kepada aliran sungai, khususnya di wilayah timur laut India yang dihuni oleh masyarakat suku kaum seperti Adi.
Ketua Menteri Arunachal Pradesh, Pema Khandu, melahirkan kebimbangan bahawa pelepasan air secara mengejut daripada empangan China boleh menyebabkan pengeringan sungai secara drastik dan menjejaskan kehidupan penduduk.
“India turut merancang untuk membina empangan sendiri di Sungai Siang sebagai langkah mitigasi terhadap sebarang risiko pelepasan air dari pihak China. Bangladesh, dalam masa sama, telah menghantar nota diplomatik kepada Beijing pada Februari lalu untuk mendapatkan penjelasan mengenai kesan ekologi dan aliran sungai akibat projek berkenaan, ‘ katanya lagi.
Beberapa kumpulan aktivis alam sekitar dan pertubuhan hak asasi Tibet memberi amaran bahawa pembinaan empangan berskala besar di kawasan dataran tinggi itu mampu menggugat biodiversiti unik Tibet serta meningkatkan risiko gempa bumi memandangkan lokasi tersebut terletak di zon seismik aktif.
Terdapat juga laporan media yang mendakwa tindakan keras telah dikenakan terhadap penduduk tempatan yang membantah projek empangan lain sebelum itu, termasuk penahanan sewenang-wenangnya.
Namun begitu, kerajaan China mempertahankan projek itu dengan menyatakan ia merupakan sebahagian daripada dasar tenaga nasional dikenali sebagai “xidiandongsong” atau “pemindahan tenaga dari barat ke timur” bagi memenuhi permintaan tenaga industri di kawasan bandar yang pesat membangun.
Perdana Menteri China, Li Qiang berkata, Empangan Motuo sebagai “projek abad ini” dan memberi jaminan bahawa pembinaan akan menitikberatkan pemeliharaan alam sekitar.
Pengumuman projek tersebut turut memberi kesan kepada pasaran saham apabila saham syarikat-syarikat pembinaan dan teknologi China melonjak naik, menunjukkan keyakinan pelabur terhadap potensi rangsangan ekonomi yang besar hasil projek tersebut.
Walaupun dianggap sebagai langkah strategik oleh Beijing, namun tekanan antarabangsa dan kebimbangan jiran serantau dijangka akan terus meningkat, khususnya dalam aspek keselamatan ekologi dan diplomasi air di rantau Asia Selatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








