Tiada permohonan rasmi ekstradisi Amirul Islam dari Bangladesh – Saifuddin
KUALA LUMPUR – Malaysia belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada kerajaan Bangladesh bagi mengekstradisi ahli perniagaan, Amirul Islam Abdul Nor.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, selain tiada permohonan daripada kerajaan Bangladesh, Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga tidak menerima sebarang permohonan rasmi melalui wakil diplomatik negara itu berhubung ekstradisi individu berkenaan.
Menurutnya, kerajaan hanya boleh mempertimbangkan sebarang permohonan ekstradisi selepas semua prosedur dan kehendak perundangan yang berkaitan dipenuhi.
“Proses ekstradisi di Malaysia adalah berdasarkan dua instrumen perundangan iaitu Akta Ekstradisi 1992 (Akta 479) dan traktat ekstradisi antara Malaysia dengan negara asing.
“Sekiranya Malaysia tidak mempunyai traktat dengan sesebuah negara, proses ekstradisi masih boleh dilaksanakan mengikut Seksyen 3 Akta 479,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di Parlimen.
Beliau menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) berhubung status permohonan ekstradisi terhadap Amirul Islam.
Saifuddin berkata, Malaysia dan Bangladesh ketika ini tidak mempunyai traktat ekstradisi.
“Justeru, sekiranya Bangladesh berhasrat memohon ekstradisi individu berkenaan, permohonan hendaklah dikemukakan kepada Menteri Dalam Negeri melalui wakil diplomatik negara itu selaras dengan Seksyen 12 Akta 479,” katanya.
Pada Oktober tahun lalu, media melaporkan isu permohonan ekstradisi terhadap dua ahli perniagaan Bangladesh yang didakwa terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram, pemerasan dan pemerdagangan pekerja asing akan ditangani menerusi kerjasama kerajaan dengan kerajaan (G2G) serta polis dengan polis (P2P).
Ketika itu, Saifuddin dilaporkan berkata perkara berkenaan sedang dikendalikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Bukit Aman, melalui kerjasama rapat dengan pihak berkuasa Bangladesh.
Amirul Islam merupakan pengasas dan bekas pengerusi Bestinet, syarikat yang mengendalikan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) bagi memproses kemasukan pekerja asing ke Malaysia.
Difahamkan, Amirul yang berasal dari Bangladesh kini merupakan warganegara Malaysia. Beliau tidak lagi memegang jawatan pengerusi Bestinet, namun masih mempunyai pegangan dalam syarikat berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







