BERITA SEMASA

Kes kematian Wan Ahmad Faris: 68 saksi beri keterangan siasatan semula

KUALA LUMPUR – Polis kini menjalankan siasatan semula berhubung kematian pelajar tahfiz, Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang berlaku pada Disember 2013 bagi memastikan ketelusan dan keadilan dalam kes tersebut.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setakat ini seramai 68 saksi telah memberi keterangan sebagai sebahagian daripada siasatan semula itu.

“Siasatan semula ini dijalankan secara profesional, bebas dan sepenuhnya mematuhi undang-undang.

“Ia juga bertujuan memastikan pematuhan prosedur operasi standard serta menangani kebimbangan keluarga mangsa dan orang awam,” katanya dalam jawapan bertulis terhadap soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai status siasatan kes itu di Dewan Rakyat semalam.

Wan Ahmad Faris, pelajar Tingkatan Empat ditemui tergantung di dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas, Kelantan.

Wan Ahmad Faris
Keluarga Allahyarham Wan Mohd Faris ketika menyerahkan memorandum kepada kerajaan negeri Kelantan di pekarangan Kompleks Kota Darul Naim, Kota Bharu pada 1 September lalu. – Foto Media Sosial

Hasil bedah siasat oleh pakar forensik mengesahkan kematiannya secara mengejut tanpa unsur jenayah.

Bagaimanapun, Mahkamah Koroner pada Jun 2016 memutuskan kematian Wan Ahmad Faris berpunca daripada tindakan individu yang tidak dikenal pasti.

Saifuddin Nasution menekankan bahawa setiap langkah dalam siasatan semula diambil bagi memastikan keadilan ditegakkan, hak keluarga mangsa dihormati dan keyakinan orang awam terhadap penguatkuasaan undang-undang terus terpelihara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button