CSA dijangka kukuhkan kedudukan Kerajaan MADANI hingga akhir penggal – Sim Tze Tzin
KUALA LUMPUR – Sokongan tambahan menerusi Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (Confidence and Supply Agreement, CSA) dijangka mengukuhkan kedudukan Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sehingga penghujung penggal Parlimen ini.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, kerajaan ketika ini menurutnya sudah mempunyai sokongan dua pertiga Ahli Parlimen, sekali gus meletakkan asas kepada kestabilan politik yang lebih kukuh.
“Saya yakin Kerajaan MADANI akan kekal stabil sehingga penghujung penggal Parlimen ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pemeteraian CSA antara Kerajaan Perpaduan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Ahli Parlimen Bebas yang melibatkan 13 Ahli Parlimen merupakan perkembangan positif dalam usaha memastikan kestabilan politik negara terus terpelihara.
“Kestabilan ini penting bagi membolehkan kerajaan menumpukan perhatian kepada pembangunan ekonomi, kebajikan rakyat dan pelaksanaan reformasi tanpa terganggu oleh persaingan politik untuk menjatuhkan kerajaan.
“Sudah tiba masanya kita beralih daripada politik menjatuhkan kerajaan kepada politik membangunkan negara,” tambahnya.
Melalui pendekatan CSA, kerajaan dapat meneruskan agenda pembangunan dan urusan pentadbiran, manakala pembangkang masih mempunyai ruang untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai semak dan imbang.
Hal ini kerana model ini mempunyai persamaan dengan perjanjian yang dimeterai antara kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan pada 2021, yang membantu mewujudkan kestabilan politik selepas kejatuhan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bagaimanapun, katanya, kerjasama menerusi CSA tidak bermaksud parti pembangkang perlu mengetepikan prinsip atau melepaskan tanggungjawab untuk mengawasi kerajaan.
Sebaliknya, BERSATU dan Ahli Parlimen Bebas masih boleh mengkritik dasar kerajaan serta memastikan pentadbiran negara dilaksanakan secara telus dan bertanggungjawab.
Antara agenda yang memerlukan sokongan merentasi parti termasuk Belanjawan 2027 yang mengutamakan kesejahteraan rakyat, reformasi institusi bagi memperkukuh tadbir urus dan ketelusan serta pindaan Perlembagaan yang penting untuk masa depan negara.
Dalam pada itu, Sim menggesa parti pembangkang lain supaya mempertimbangkan penyertaan dalam CSA bagi memperkukuh kestabilan politik dan memastikan agenda pembangunan negara dapat diteruskan.
“Kestabilan politik bukan sahaja penting untuk kelancaran pentadbiran, malah turut mempengaruhi keyakinan pelabur, pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Oleh itu, semua pihak perlu meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan politik kepartian bagi memastikan Malaysia terus bergerak maju,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |



