POLITIK

Tujuh Ahli Parlimen tandatangani MoU sokong kerajaan

KUALA LUMPUR – Seramai tujuh Ahli Parlimen, enam daripada BERSATU dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan, hari ini.

Perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) itu ditandatangani oleh Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, serta Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq.

Enam Ahli Parlimen BERSATU yang terlibat dalam MoU berkenaan ialah Muhyiddin (Pagoh), Datuk Dr Radzi Jidin (Putrajaya), Datuk Ali Biju (Saratok), Datuk Suhaimi Abdullah (Langkawi), Nazri Abu Hassan (Merbok) dan Datuk Azman Nasrudin (Padang Serai).

Tujuh Ahli Parlimen berkenaan mahu kerajaan mengehadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri serta mengasingkan peranan peguam negara dan pendakwa raya sebelum penggal pentadbiran semasa berakhir.

Mereka juga mahu menerima peruntukan pembangunan kawasan yang sama seperti Ahli Parlimen kerajaan.

Sebagai balasan, tujuh Ahli Parlimen pembangkang itu akan menyokong pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga tamat penggal Parlimen, termasuk Belanjawan 2027.

Perjanjian itu turut ditandatangani oleh enam bekas Ahli Parlimen BERSATU yang dipecat daripada parti itu pada tahun 2024 selepas mengisytiharkan sokongan mereka kepada kerajaan.

Anwar sebelum ini menyatakan, peruntukan boleh disalurkan kepada Ahli Parlimen pembangkang melalui perjanjian kepercayaan dan perbekalan, sama seperti perjanjian yang dicapai dengan pentadbiran bekas perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sewaktu Anwar menjadi ketua pembangkang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button