19 MP BERSATU bersama saya, kedudukan Ketua Pembangkang diumum kemudian – Hamzah Zainudin
KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen (MP) parti itu apabila 19 daripada 25 wakil rakyat BERSATU menyatakan pendirian bersama beliau.
Hamzah berkata, jumlah tersebut termasuk dirinya sendiri dan sekali gus membuktikan beliau mendapat kepercayaan majoriti dalam kalangan MP BERSATU.
“Setakat ini, termasuk diri saya sendiri yang sudah diumumkan tadi, 19 Ahli Parlimen daripada BERSATU bersama saya.
“Jadi kalau dah 19 daripada 25 Ahli Parlimen, saya mempunyai majoriti daripada BERSATU,” katanya pada sidang media selepas Taklimat Hala Tuju dan Reset Politik di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM), di sini hari ini.
Mengulas kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat susulan pemecatan keahliannya oleh BERSATU, Hamzah berkata perkara itu akan diumumkan kemudian.
Menurutnya, Ahli Parlimen pembangkang akan menentukan siapa yang layak memegang jawatan tersebut.
“Mungkin saya tak perlukan strategi untuk memanggil berapa jumlah Ahli Parlimen menyokong jawatan Ketua Pembangkang.
“Tetapi sekiranya saya kekal sebagai Ketua Pembangkang, ia menunjukkan mereka bersama dengan saya,” katanya.

Hamzah turut mendedahkan pertemuannya bersama pimpinan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) termasuk Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang bertanyakan jumlah Ahli Parlimen BERSATU yang menyokong beliau.
“Mereka tanya saya, berapa Ahli Parlimen yang bersama dengan saya. Saya maklumkan 19 orang termasuk saya sendiri,” katanya.
BACA JUGA:
Kedudukan Ketua Pembangkang diteliti selepas pemecatan Hamzah – Azmin Ali
Muhyiddin tegas selamatkan BERSATU, MPT sepakat perkukuh parti hadapi PRU-16
Noh Omar letak jawatan Ahli MPT BERSATU, persoal tindakan Lembaga Disiplin
Dalam perkembangan sama, Hamzah mengumumkan dirinya kini merupakan penentang nombor satu Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas dipecat daripada parti itu.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut berhubung perkara tersebut dan memaklumkan akan mengadakan temu bual eksklusif bersama beberapa media dalam masa terdekat bagi menjelaskan situasi sebenar.
“Saya akan cerita apa yang sebenarnya berlaku. Saya akan panggil beberapa orang daripada anda untuk temu bual secara eksklusif,” katanya.
Hamzah turut menegaskan beliau tidak berhasrat mencabar keputusan pemecatan itu di mahkamah.
“Buat apa? Biarkanlah… parti itu Muhyiddin yang punya. Dia memiliki parti itu dan memberitahu kepada semua bahawa parti itu miliknya,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








