16 Ahli Parlimen BERSATU hantar surat kepada Presiden suarakan kebimbangan
KUALA LUMPUR – Seramai 16 Ahli Parlimen BERSATU dipercayai menandatangani sepucuk surat kepada Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyuarakan kebimbangan mereka terhadap tindakan pecat dan gantung yang dikenakan ke atas beberapa pemimpin parti, sambil
Menurut NST, surat bertarikh 23 Oktober itu menyifatkan langkah tersebut sebagai “tidak wajar” sambil berkata, hukuman itu dibuat pada masa yang “tidak sesuai” dan boleh menjejaskan sokongan terhadap belanjawan alternatif Perikatan Nasional (PN).
Datuk Seri Saifuddin Abdullah, yang digantikan sebagai ketua PN Pahang minggu lalu, mengesahkan beliau menyerahkan surat itu kepada presiden.
Beliau berkata, kandungan surat tersebut merujuk kepada pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, serta penggantungan selama satu penggal terhadap Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Mereka juga tidak bersetuju dengan tindakan “tidak logik” memanggil Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, ke lembaga disiplin.
“Saya katakan bahawa surat itu adalah mengenai MP Bersatu menyampaikan kebimbangan mereka, bukan rayuan bagi pihak tiga MP tersebut (Hamzah, Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal),” katanya.
“Enam belas MP bersolidariti dengan tiga MP yang terlibat dengan lembaga disiplin. Jadi, itu menjadikan 19 MP,” katanya dalam laporan tersebut.
Tambahnya, Muhyiddin telah membaca surat tersebut dan memberikan respon bahawa keputusan Lembaga Disiplin BERSATU adalah selaras dengan perlembagaan parti dan beliau tidak pernah campur tangan.
Saifuddin berkata beliau telah memaklumkan respon Muhyiddin kepada para MP tersebut dan menyatakan bahawa tiada keperluan untuk tindakan lanjut.
Penandatangan lain, selain Saifuddin, termasuk Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor dan Muhammad Islahuddin Abas (Mersing).
Senarai itu turut merangkumi Fathul Huzir Ayob (Gerik), Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Datuk Abdul Khalib Abdullah (Rompin), dan Nordin Ahmad Ismail (Lumut).
Penandatangan lain ialah Zakri Hassan (Kangar), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Muslimin Yahaya (Sungai Besar), Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu), Azahari Hasan (Padang Rengas), Kalam Salan (Sabak Bernam), dan Mohd Nazri Abu Hassan (Merbok).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















