Hayat politik BERSATU tidak panjang – Zahid
BAGAN DATUK – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan hayat politik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak akan bertahan lama susulan tindakan disiplin melibatkan pemecatan dan penggantungan beberapa ahlinya.
Menurut beliau, perkembangan yang berlaku dalam parti itu ketika ini membuktikan jangkaan yang pernah dinyatakannya sebelum ini.
“Saya mengucapkan selamat berjaya kepada mereka dan kepada kepimpinan parti berkenaan. Saya tidak berhajat untuk campur tangan dalam hal ehwal parti serpihan daripada UMNO ini dan dari dahulu saya menyatakan bahawa hayat politik parti itu tidak akan panjang.
“Kita akan lihat dalam waktu yang terdekat apakah nasib yang akan menimpa mereka,” katanya pada sidang media selepas Majlis Peluncuran MARA Prihatin Peringkat Kebangsaan 2026 di Dewan Armada Utama, Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, UMNO bersedia mempertimbangkan permohonan mana-mana bekas ahli yang mahu kembali menyertai parti berkenaan.
“Kalau ada permohonan, kita akan pertimbangkan. Kita terbuka kerana sebagai parti politik yang menaungi rumah bangsa, kita mempunyai dasar yang terbuka.
“Kita berlapang dada dan berfikiran terbuka juga untuk menerima sesiapa sahaja dalam kalangan orang Melayu dan Islam yang mahu menyertai rumah bangsa,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








