Radzi, Faizal galas tugas timbalan Presiden BERSATU
KUALA LUMPUR – Dua Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dipilih untuk menjalankan tugas Timbalan Presiden parti itu susulan pemecatan Datuk Seri Hamzah Zainuddin, semalam.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan tersebut dicapai secara sebulat suara dalam Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang berlangsung hari ini.
“Mesyuarat MPT BERSATU bersetuju melantik YB Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk menjalankan tugas Timbalan Presiden,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau turut menyeru seluruh ahli parti agar kekal tenang dan terus memberikan sokongan kepada barisan kepimpinan sedia ada.
“Saya menyeru ahli-ahli BERSATU supaya kekal tenang sementara barisan kepimpinan yang bersama-sama saya pada hari ini mengemudi parti kembali ke landasan perjuangan asal untuk membela nasib rakyat.
“Saya yakin dengan semangat kebersamaan dan kesetiaan kepada perjuangan parti, kita mampu mengharungi apa jua cabaran dan dugaan,” ujarnya.
Terdahulu, Mesyuarat Khas MPT BERSATU yang berlangsung lebih sejam itu diadakan di kediaman Muhyiddin di sini bermula pukul 10 pagi.
Antara pimpinan yang hadir ialah Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Setiausaha Agung BERSATU Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta beberapa ahli MPT parti berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







