
YDPA tamatkan lawatan negara 4 hari ke China
BEIJING – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, hari ini berangkat pulang ke tanah air selepas menamatkan lawatan negara selama empat hari ke China, yang bermula sejak Khamis lalu.
Pesawat khas yang membawa Seri Paduka Baginda berlepas dari Terminal Rasmi Lapangan Terbang Beijing Capital pada pukul 9.28 pagi.

Baginda diiringi oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad yang turut hadir di lapangan terbang untuk mengucapkan selamat jalan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Di pihak China, Timbalan Menteri Luar, Sun Weidong dan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing turut hadir bagi mengiringi keberangkatan pulang baginda.
Sebelum berlepas, Sultan Ibrahim menerima tabik hormat daripada anggota kawalan kehormat Angkatan Tentera China.
Lawatan negara itu merupakan yang pertama bagi Sultan Ibrahim sejak dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu.
Lawatan itu dijalankan atas jemputan Presiden China, Xi Jinping.
Pada hari Jumaat, baginda disambut dengan upacara rasmi di Great Hall of the People, Beijing, di mana Presiden Xi Jinping sendiri menyambut keberangkatan tiba Sultan Ibrahim.
Selepas upacara itu, Seri Paduka Baginda mengadakan pertemuan rasmi dengan Jinping di Dewan Timur, sebelum menghadiri Majlis Santapan Negara yang dihoskan oleh Presiden China di lokasi yang sama.
Sultan Ibrahim juga mengadakan pertemuan dengan Premier China, Li Qiang, bagi membincangkan kerjasama lebih erat antara kedua-dua negara.
Dalam rangka lawatan itu, Sultan Ibrahim turut berkenan menamakan Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University (BFSU) dengan nama baginda, iaitu Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim.
Kementerian Pendidikan Tinggi menyatakan bahawa penamaan ini simbolik kepada hubungan erat antara Malaysia dan China yang sudah lama terjalin sejak Zaman Kesultanan Melayu Melaka.
Yang di-Pertuan Agong turut meluangkan masa bertemu dengan komuniti rakyat Malaysia di China yang menyambut baik peluang untuk bertemu dengan Ketua Utama Negara itu.
Mengakhiri lawatan, baginda berkenan melawat Pusat Penyelidikan Teknologi Pesawat Awam Beijing (COMAC) untuk melihat sendiri teknologi terkini dalam industri penerbangan China.
Baginda meluangkan lebih satu jam di pusat berkenaan dan mencuba simulator penerbangan yang disediakan.
Sebelum berangkat pulang, Sultan Ibrahim turut meninjau dua pesawat yang dibangunkan COMAC di Lapangan Terbang Beijing Capital dan meluangkan masa hampir 45 minit.
Lawatan ini mencerminkan keakraban hubungan dua hala antara Malaysia dan China yang semakin kukuh, khususnya sejak dinaik taraf kepada kerjasama strategik komprehensif pada 2013 dan menandakan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Kali terakhir seorang Yang di-Pertuan Agong melakukan lawatan negara ke China ialah pada 2014, apabila Yang di-Pertuan Agong ke-14, Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, dijemput oleh Jinping bersempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia-China.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








