Ketua Armada BERSATU dituduh buat kenyataan cetus kegentaran awam
KUALA LUMPUR – Ketua Armada BERSATU, Muhammad Hilman Idham dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan menimbulkan kegentaran awam melalui kenyataan dimuat naik di akaun Tiktok, bulan lalu.
Hilman dituduh mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan di hadapan Majistret Amira Abd Aziz.
Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia itu yang diwakili peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan.
“Saya akan lawan dan minta dibicarakan,” kata Muhammad Hilman.
Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datuk Badiuszaman Ahmad menawarkan ikat jamin RM10,000 sebelum Muhammad Rafique memohon jaminan minimum atas alasan anak guamnya memberi kerjasama baik kepada polis sepanjang proses siasatan.
“Tertuduh seorang ADUN yang dikenali rakyat Selangor dan Malaysia, tiada sebab untuk tertuduh melarikan diri. Saya cadangkan jaminan seharusnya pada kadar RM3,000 sahaja dengan seorang penjamin dan tanpa syarat lain kerana beliau perlu menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat,” katanya.
Selain Muhammad Rafique, tertuduh turut diwakili peguam, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Zolazrai Zolkapli, Alias Rasman dan Afiqa Nardin.
Mahkamah kemudiannya menetapkan ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada pada 9 Oktober depan untuk serahan dokumen.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




