Remaja lelaki 18 tahun jatuh dari tingkat 68 Komtar
GEORGE TOWN – Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 68 Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), di sini, petang semalam.
Mayat mangsa ditemukan oleh seorang pekerja di tingkat enam bangunan berkenaan dalam kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira pukul 4 petang.
Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Jamil Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.17 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai dikejarkan ke lokasi.
Menurutnya, operasi khas dijalankan bagi mengeluarkan mayat mangsa menggunakan sistem tali dan pengusung berikutan kedudukannya yang sukar diakses.
“Maklumat awal mendapati mangsa yang tinggal berhampiran kawasan itu merupakan seorang pelajar dan dipercayai terjatuh dari tingkat 68.
“Ketika mayat ditemukan, terdapat tiket masuk ke taman tema selain mangsa masih memakai gelang pas masuk ke taman tema tersebut,” katanya.
Sementara itu, tinjauan di lokasi mendapati pasukan Unit Forensik Polis Diraja Malaysia menjalankan siasatan, manakala ahli keluarga mangsa turut hadir. Difahamkan, kejadian itu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV).
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, siasatan masih dijalankan dan kenyataan media berhubung kejadian akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
“Siasatan masih dijalankan, kita akan keluarkan kenyataan media nanti,” katanya.
Kes disiasat bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















