Insiden Virgo Transport 8 : Wisma Putra belum terima petunjuk rakyat Malaysia terlibat
PUTRAJAYA – Kementerian Luar belum menerima maklumat menunjukkan rakyat Malaysia terlibat dalam insiden kapal penumpang Virgo Transport 8 yang terputus hubungan di Laut Jawa, Indonesia, awal pagi Ahad.
Menurut kenyataan kementerian itu, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sedang berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mengesahkan maklumat penumpang serta mendapatkan perkembangan terkini mengenai insiden berkenaan.
“Setakat ini, kementerian sedang memantau laporan mengenai kapal penumpang tersebut, termasuk berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia,” menurut kenyataan itu.
AntaraNews melaporkan enam daripada 243 individu yang berada di atas kapal berkenaan terkorban setakat ini manakala 103 berjaya diselamatkan dan lebih 100 lagi masih hilang.
Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (Basarnas) menerima laporan mengenai kehilangan kapal itu pada pukul 4:10 pagi selepas hubungan dengannya terputus kira-kira pukul 2 pagi ketika meredah cuaca buruk di Laut Jawa.
Virgo Transport 8 dilaporkan berlepas dari Surabaya pada Sabtu menuju Banjarmasin di Kalimantan.
Kedudukan terakhir kapal itu dikesan kira-kira 80 batu nautika dari pangkalan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Banjarmasin.
Sementara itu, Kementerian Luar menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di Indonesia supaya mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan serta mendaftar dan mengemas kini maklumat hubungan melalui portal e-Konsular bagi memudahkan urusan komunikasi dan bantuan konsular sekiranya diperlukan.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan atau ingin menyalurkan maklumat berkaitan insiden itu boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta di talian +62 21 522 4947 atau talian kecemasan selepas waktu pejabat, +62 813 8081 3036.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








