Lima maut, 41 hilang feri terbakar di perairan Madura
SURABAYA – Sekurang-kurangnya lima maut manakala lebih 40 lagi hilang selepas sebuah feri penumpang terbakar di perairan berhampiran Pulau Madura, Jawa Timur, Indonesia semalam.
Menurut Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (Basarnas), feri Mutiara Sentosa II yang membawa 271 penumpang dan anak kapal sedang dalam pelayaran dari Surabaya menuju ke Makassar apabila kebakaran tercetus beberapa jam selepas berlepas.
Kebakaran menyebabkan suasana panik apabila ramai penumpang terpaksa memakai jaket keselamatan dan terjun ke laut untuk menyelamatkan diri, sebelum dibantu kapal-kapal yang berada berhampiran lokasi kejadian.
“Setakat petang semalam, seramai 225 orang berjaya diselamatkan, manakala lima mayat ditemukan. Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan membabitkan kapal penyelamat, kapal Tentera Laut Indonesia dan beberapa aset maritim lain bagi mengesan 41 mangsa yang masih hilang,” lapor agensi berita antarabangsa.
Basarnas memaklumkan keadaan laut serta risiko kebakaran menyukarkan usaha menyelamat, sementara punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan asap hitam tebal menyelubungi feri berkenaan, manakala penumpang menunggu bantuan di dalam laut sebelum diselamatkan pasukan penyelamat dan kapal berhampiran. – AGENSI
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








