MB Selangor ‘tawar’ cuti jika Selangor juara SUKMA
KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mencuri perhatian rakyat negeri itu mengenai cadangan pemberian cuti sekiranya kontinjen Selangor muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026.
Amirudin menerusi hantaran di Threads malam tadi turut mengadakan undian bagi mengetahui pandangan rakyat terhadap cadangan kerajaan negeri mengisytiharkan cuti sekiranya Selangor berjaya menjuarai temasya berkenaan.
“Apa pandangan rakyat Negeri Selangor jika Kerajaan Negeri isytihar cuti sekiranya Selangor menjuarai Kejohanan Sukma 2026? Cuba undi di bawah,” katanya.
Beliau menyediakan dua pilihan dalam undian itu, iaitu ‘Setuju’ dan ‘Tidak Setuju’.
Tinjauan di ruangan komen mendapati cadangan berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada pengguna media sosial, termasuk ada yang secara berseloroh meminta cuti berkenaan diumumkan seawal esok.
“Tolong bagi cuti esok,” komen crz_vision
“Tolonglah cuti esok yb😢😢😢 malas nak gosok baju,” kata zk_ras
Seorang lagi pengguna, beduuh bagaimanapun tidak bersetuju dengan alasan tidak bekerja di Selangor.
“Tak setuju. Saya kerja KL hahah. Nanti daycare anak tutup siapa nak jaga,” katanya.
Terdahulu, kerajaan Selangor dilaporkan sedang mempertimbangkan pemberian cuti peristiwa sekiranya kontinjen negeri itu berjaya muncul juara keseluruhan Sukma 2026.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd. Najwan Halimi berkata, perkara itu akan diusulkan kepada Amirudin sebagai penghargaan kepada rakyat yang memberikan sokongan terhadap kontinjen negeri sepanjang temasya berlangsung.
Menurutnya, sebarang keputusan mengenai pemberian cuti berkenaan hanya akan dimaklumkan selepas pengiraan pingat dimuktamadkan.

Selangor sebelum ini menetapkan sasaran 80 pingat emas pada Sukma kali ini dan berjaya melepasi sasaran berkenaan apabila mengumpul 85 pingat emas setakat pukul 3 petang hari ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








