BERITA SEMASAPOLITIK

Pemuda PAS gesa Kerajaan Selangor beri tumpuan kepada empat fokus utama Bajet 2026 dan RS-2

SHAH ALAM – Dewan Pemuda PAS Selangor menggesa kerajaan negeri memberi fokus kepada empat perkara utama dalam penyediaan Bajet Selangor 2026 dan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) bagi memastikan kekayaan negeri diagih secara adil dan benar-benar menguntungkan rakyat.

Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, empat keutamaan itu meliputi jaminan kesejahteraan rakyat dalam sektor keselamatan dan kesihatan, peningkatan kemahiran dan kebolehpasaran golongan miskin mutlak, pelan perumahan mampu milik yang lebih realistik serta pembangunan infrastruktur asas di kawasan luar bandar.

“Kerajaan negeri perlu memperuntukkan dana yang besar bagi usaha menjamin kesejahteraan rakyat, terutamanya dalam sektor keselamatan dan kesihatan awam.

“Kedua, tumpuan harus diberikan kepada peningkatan kemahiran serta kebolehpasaran agar isi rumah miskin mutlak dapat melepasi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) secara mampan.

“Ketiga, kerajaan negeri mesti menggubal pelan pembinaan rumah mampu milik yang benar-benar memenuhi keperluan rakyat Selangor, khususnya golongan muda.

“Keempat, peruntukan lebih besar wajar disalurkan kepada pembangunan infrastruktur asas luar bandar supaya jurang sosioekonomi tidak terus melebar,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) perlu mengambil iktibar daripada kelemahan pelaksanaan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang menurutnya gagal membela nasib rakyat dan hanya bersifat kosmetik.

Menurutnya, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pertumbuhan tahunan Indeks Kesejahteraan Sosial Selangor menurun kepada 0.7 peratus pada 2022, berbanding 2.1 peratus pada 2021, dengan subkomponen keselamatan awam (-9.3%) dan kesihatan (-6.3%) menunjukkan prestasi membimbangkan.

“Ini bukti jelas negeri kita kaya, tetapi rakyatnya tidak sejahtera dari segi kualiti hidup,” katanya.

Menurutnya lagi, peningkatan kos sara hidup, jurang pendapatan antara bandar dan luar bandar serta kemiskinan mutlak yang masih mencatat kadar 1.5 peratus pada 2022 membuktikan kegagalan kerajaan negeri mengurus ekonomi dengan cekap.

“Pendapatan median di daerah luar bandar seperti Sabak Bernam hanya sekitar RM6,941, jauh lebih rendah berbanding RM11,131 di Sepang. Ini memperlihatkan ketidakseimbangan pembangunan yang ketara,” ujarnya.

Dalam masa sama, Mohamed Sukri turut membangkitkan isu perumahan mampu milik yang masih tidak selari dengan kemampuan rakyat.

Katanya, daripada 302,998 permohonan rumah mampu milik yang diterima pada 2024, hanya 13 peratus (41,196 unit) berjaya disiapkan manakala lebih 62 peratus projek masih belum dimulakan.

“Rakyat berdepan kesukaran memiliki rumah sendiri, tetapi kerajaan negeri gagal menjelaskan sebab ribuan permohonan tidak diluluskan,” katanya.

Beliau turut menegur kelewatan dan kelemahan pelaksanaan projek pembangunan negeri seperti Sabak Bernam Development Area (SABDA) yang dijanjikan menarik pelaburan RM1.9 bilion serta menyediakan 3,600 peluang pekerjaan, namun kini gagal direalisasikan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button