BERITA SEMASA

Bilik bekalan kuasa di Bank Negara terbakar, 40 peratus struktur terjejas

KUALA LUMPUR – Sebuah bilik sistem bekalan kuasa tanpa gangguan (UPS) di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia (BNM) di Jalan Dato Onn di sini terbakar dalam kejadian awal pagi ini.

Kebakaran dilaporkan berlaku kira-kira jam 7.32 pagi sebelum pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur digerakkan ke lokasi.

Menurut JBPM, kebakaran membabitkan bilik UPS ‘backup battery’ di tingkat tiga bangunan berkenaan dengan kemusnahan dianggarkan sekitar 40 peratus.

Komander Operasi, S Thirugaiyah berkata, kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh singkat selepas pasukan bomba tiba di lokasi.

“Api berjaya dikawal pada jam 7.46 pagi hasil tindakan pantas anggota bertugas. Kebakaran melibatkan sebuah bilik UPS di tingkat tiga bangunan tersebut,” memetik HM online.

Beliau berkata, operasi pemadaman membabitkan 17 anggota dan tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul serta BBP Titiwangsa.

Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian itu.

“Tiada mangsa terlibat dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya lagi.

JBPM berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 sebelum pasukan digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi pemadaman dan pemeriksaan lanjut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button