Pusat hiburan di bekas pawagam Odeon terbakar
GEORGE TOWN – Sebuah pusat hiburan yang beroperasi di bangunan bekas Pawagam Odeon, Jalan Penang, di sini dilaporkan terbakar dalam satu kejadian malam tadi.
Menurut sumber, kepulan asap tebal daripada kebakaran itu dapat dilihat dengan jelas dari jarak melebihi lima kilometer.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang menerusi kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden tersebut pada pukul 8.50 malam, sebelum beberapa buah jentera dan anggota segera digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik pihak bomba tiba, api sedang marak dan kebakaran melibatkan sebuah premis dua tingkat berkeluasan 1,393.54 meter persegi yang dijadikan pusat hiburan dengan nama Midnight Black terletak di bangunan bekas pawagam Odeon.
“Setakat pukul 10.45 malam ini, anggaran kemusnahan akibat kebakaran ialah kira-kira 50 peratus dan Pasukan Keluaran Operasi sedang menjalankan kerja-kerja pengawalan serta pemadaman api di lokasi kejadian,” menurut kenyataan itu.
Menurut PGO JBPM Pulau Pinang, sebanyak 25 anggota termasuk penyelia terlibat dalam operasi berkenaan dengan bantuan beberapa aset termasuk jentera LFRT, FRT, EMRS dan Aerial Ladder Platform (ALP) serta lebih 10 Pasukan Bomba Sukarela (PBS).
Tiada sebarang laporan kecederaan atau kehilangan nyawa diterima setakat ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















