BERITA SEMASA

Caj QR DuitNow: Kerajaan digesa campur tangan

KUALA LUMPUR – Pengenalan caj bagi transaksi menggunakan QR DuitNow seperti yang diumumkan pengendalinya, Paynet adalah langkah ke belakang yang akan memberi kesan kepada peniaga-peniaga kecil.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman menggesa Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan supaya campur tangan berhubung pelaksanaan caj yang akan bermula 1 November ini.

Beliau berkata, yuran transaksi yang akan dikenakan kepada penjual atau penerima bayaran itu merupakan langkah ke belakang ketika kerajaan berusaha menggalakkan penggunaan transaksi tanpa tunai.

Katanya, ia juga akan menjadi beban tambahan terutama kepada golongan peniaga kecil yang masih bertarung untuk mempertahankan perniagaan selepas pandemik Covid-19 berakhir.

“la juga memberikan kesan kepada inisiatif kerajaan seperti pemberian bantuan e-wallet serta inisiatif lain yang dilakukan kerajaan untuk menggalakkan penggunaan transaksi tanpa tunai terutamanya di kaunter-kaunter kerajaan.

“Urus niaga cara ini diamalkan secara meluas di luar negara tanpa sebarang caj dikenakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, Young Syefura mencadangkan supaya caj transaksi itu diserap oleh pihak bank yang setiap tahun mengumumkan keuntungan berganda.

Hari ini, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mengesahkan bahawa vendor yang menerima pembayaran menerusi platform kod QR DuitNow akan dikenakan caj mulai 1 November ini.

PayNet menerusi kenyataan berkata, terdapat dua e-pembayaran berbeza dikenakan caj iaitu kadar diskaun peniaga (MDR) dan fi 50 sen bagi transaksi melebihi RM5,000

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button