Hotel pilihan jemaah umrah Malaysia di Mekah terbakar
KUALA LUMPUR – Sebuah hotel di Mekah yang sering menjadi pilihan jemaah umrah dari Asia Tenggara termasuk Malaysia dilaporkan terbakar dalam kejadian petang semalam.
Kejadian membabitkan Hotel Mira Ajyad yang terletak di kawasan Ajyad berhampiran Masjidil Haram.
Beberapa video yang tular di media sosial memaparkan api marak serta kepulan asap tebal menjulang tinggi dari bangunan hotel berkenaan, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang ramai.
Setakat ini, pihak media sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada Wisma Putra berhubung kejadian tersebut, termasuk sama ada terdapat rakyat Malaysia yang terjejas.
Di media sosial, pelbagai reaksi dikongsi oleh pengguna yang mengikuti perkembangan kebakaran itu.
Seorang jemaah dari Indonesia yang dikenali sebagai Prayaudityoryan mendakwa, beliau sempat dipindahkan keluar dari hotel berkenaan sebelum api semakin marak.
Seorang ustaz yang berada di Mekah turut berkongsi video suasana cemas di jalan utama di hadapan hotel terbabit ketika pasukan kecemasan berusaha mengawal kebakaran.
Selain itu, beberapa jemaah umrah lain turut memuat naik gambar dan video yang menunjukkan kepulan asap hitam menyelubungi sebahagian kawasan di Mekah.
Dalam pada itu, ramai rakyat Malaysia yang pernah menginap di hotel berkenaan turut meluahkan rasa terkejut dan sedih atas kejadian tersebut di media sosial.
Bagaimanapun, kebanyakan mereka turut mendoakan agar kebakaran itu tidak mengakibatkan kehilangan nyawa atau kecederaan dalam kalangan jemaah yang berada di hotel berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








