Ferrari terbabas dan terbakar di Muadzam Shah, pasangan pemandu terselamat
MUADZAM SHAH – Sepasang pelancong berdepan detik cemas apabila kereta mewah Ferrari 458 Spider yang dinaiki mereka terbabas dan terbakar dalam satu kemalangan di Jalan Kuantan–Segamat, berhampiran Jambatan Kampung Gadak, pagi tadi.
Kemalangan berlaku semasa konvoi jentera mewah dari Singapura terbabas dan melanggar penghadang jalan
Dalam kejadian kira-kira jam 10:40 pagi itu, pemandu lelaki berusia 34 tahun, warganegara Singapura, dan teman wanitanya berusia 33 tahun dari Hong Kong, sempat keluar dari kenderaan sebelum ia dijilat api sepenuhnya.
Mereka dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi memaklumkan bahawa Ferrari tersebut ketika itu sedang menyertai konvoi 13 buah kenderaan dari Singapura menuju ke Pantai Peranginan Cherating, Kuantan.
“Siasatan awal mendapati pemandu telah hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar penghadang jalan, menyebabkan kereta terbakar keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan media.
Susulan insiden itu, pemandu dikenakan tindakan di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/59) kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kemalangan. Dia turut dikenakan denda sebanyak RM300.
BACA LANJUT : Ahli Perniagaan bergelar Datuk ditahan bersama 17 kereta mewah
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








