Kebakaran hutan Bukit Bendera, tapak pelupusan Pulau Burung turut terbakar
GEORGE TOWN – Kawasan hutan seluas kira-kira 0.4 hektar di kaki Bukit Bendera, Jalan Air Itam di sini, terbakar pada petang Ahad sebelum berjaya dipadam sepenuhnya oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.41 petang sebelum mengerahkan 25 anggota bersama enam jentera ke lokasi kejadian.
Menurutnya, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong, Jalan Lebuh Pantai, Paya Seri Balik Pulau dan Bayan Baru terlibat dalam operasi berkenaan.
“Komander Operasi telah menjalankan penilaian awal dengan memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE) sebelum melaksanakan kerja pengawalan dan pemadaman, termasuk membina laluan sekat api bagi mengelakkan kebakaran merebak,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan peralatan fire beater dan jet shooter selain kaedah serangan terus menerusi sistem mengepam secara relay pumping.
Menurutnya, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bukit Bendera, Mount Erskine dan Paya Terubong turut digerakkan bagi membantu mempercepatkan usaha pemadaman.
“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 4.46 petang dan dipadam sepenuhnya pada jam 8.05 malam sebelum kerja pemeriksaan serta pengawasan dijalankan bagi memastikan tiada sisa bara api,” katanya lagi.
Tambah beliau, keadaan di lokasi dilaporkan selamat dan operasi ditamatkan pada jam 8.30 malam.
Dalam perkembangan berasingan, John memaklumkan satu lagi kebakaran melibatkan longgokan sampah di tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Nibong Tebal semalam.
Beliau berkata, kebakaran yang membabitkan keluasan kira-kira 929 meter persegi itu dilaporkan pada jam 8.13 malam dan melibatkan 18 anggota bersama enam jentera dari BBP Nibong Tebal dan Sungai Bakap.
“Operasi pemadaman masih dijalankan dengan bantuan PBS dari Sungai Jawi, Nibong Tebal, Valdor, Tanjung Piandang serta Parit Buntar selain sokongan dua unit jengkaut daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP),” katanya lagi.
Menurutnya, punca kebakaran masih dalam siasatan dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















