Pelajar cedera jatuh bangunan, disyaki sukar terima teguran guru
SUNGAI PETANI – Seorang pelajar lelaki tingkatan lima cedera selepas terjatuh dari bangunan sebuah sekolah menengah di sini semalam dipercayai tindakan selepas ditegur guru kerana membawa telefon bimbit ke sekolah.
Ketua Polis Kedah, Adzli Abu Shah berkata, siasatan awal mendapati mangsa sebelum itu telah ditegur oleh seorang guru pada 26 Februari lalu kerana membawa telefon pintar, namun peranti berkenaan tidak dirampas.
Menurut beliau, pelajar berkenaan yang merupakan orang kurang upaya (OKU) pendengaran serta mempunyai autisme, dipercayai sukar menerima teguran tersebut.
“Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan. Kita telah mengambil keterangan guru yang menegur mangsa serta beberapa guru lain dan akan memanggil saksi tambahan bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus,” katanya memetik laporan Bernama pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, hari ini.
Beliau memaklumkan mangsa telah bersekolah di institusi berkenaan sejak tingkatan satu dan pernah dirujuk kepada perkhidmatan bimbingan dan kaunseling sekolah sebelum ini.
Difahamkan, pelajar itu mempunyai kecenderungan sindrom ‘tantrum’ dan dipercayai tidak dapat mengawal emosi apabila ditegur.
Dalam pada itu, Adzli berkata, beliau telah melawat mangsa yang kini dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim dan dimaklumkan keadaan pelajar berkenaan stabil walaupun mengalami kecederaan serius.
“Mangsa mengalami patah tangan kiri, patah tulang selangka kiri, patah tulang pinggul serta kecederaan pada paru-paru kiri.
Walaupun kecederaan agak serius, namun secara keseluruhan keadaannya stabil,” katanya.
Tambah beliau, pemeriksaan mendapati tiada kecederaan pada kepala dan tiada kesan yang menunjukkan unsur buli.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








