BERITA SEMASAJABATAN WILAYAH PERSEKUTUAN

Pembinaan bangunan 60 tingkat di Bukit Damansara masih di peringkat kajian – DBKL

KUALA LUMPUR – Tiada keputusan muktamad dibuat berhubung cadangan pembinaan bangunan 60 tingkat di Bukit Damansara, selagi kajian teknikal dan sesi libat urus bersama pemegang taruh belum dilaksanakan.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan, permohonan berkenaan masih dalam proses penelitian dan akan diputuskan hanya selepas kajian serta pandangan awam dikumpulkan secara menyeluruh.

“Sebarang keputusan muktamad hanya akan dibuat selepas proses libat urus dan penelitian teknikal yang komprehensif dilaksanakan.

“DBKL ingin menegaskan bahawa setiap keputusan berkaitan pembangunan bandar sentiasa berpaksikan kepada dasar sedia ada dan pelan pembangunan yang diwartakan.

“DBKL juga komited memastikan setiap pembangunan di Kuala Lumpur dilaksanakan secara teratur, mampan serta tidak menjejaskan kesejahteraan penduduk setempat,” katanya dalam kenyataan semalam.

DBKL mengeluarkan kenyataan itu sebagai maklum balas terhadap pandangan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, yang meminta pihak berkuasa meneliti kesan sampingan sesuatu pembinaan terhadap penduduk sekitar sebelum sebarang projek dilaksanakan.

Menurut DBKL, pihaknya menerima permohonan cadangan pelan susun atur pembangunan perdagangan di atas tiga lot tanah berkeluasan 7.98 ekar.

Jelas DBKL, Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) yang diwartakan pada 28 Mei lalu menetapkan kriteria tertentu yang boleh dipertimbangkan.

Jelasnya, ia tertakluk kepada pematuhan syarat teknikal perancangan dan pelawaan pandangan awam mengikut Kaedah 3 (pemberitahuan mendapatkan pandangan).

“Cadangan sesuatu pemajuan juga masih tertakluk kepada pematuhan syarat teknikal seperti Penilaian Impak Trafik (TIA), Geoteknik, Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA), Penilaian Impak Sosial (SIA) dan aspek teknikal lain.

“Selain itu, pematuhan terhadap ulasan serta syarat agensi teknikal lain seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan agensi berkaitan lain juga perlu dipatuhi,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button