Jenayah rogol pelajar: Seluruh sistem perlu dipersoalkan – DAPSY
KUALA LUMPUR – Insiden rogol melibatkan pelajar sekolah baru-baru ini bukan sekadar tragedi jenayah, tetapi bukti jelas bahawa seluruh sistem kehidupan masyarakat perlu dipersoalkan.
Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAPSY, Syaheera Ghafar berkata, apabila jenayah seteruk itu dilakukan oleh anak-anak sendiri di dalam kawasan sekolah, ia menunjukkan kegagalan sistem yang lebih besar merangkumi keluarga, pendidikan, dasar perlindungan kanak-kanak dan nilai sosial masyarakat.
“Apabila jenayah sekejam ini berlaku, ramai mula menuding jari ada yang menyalahkan menteri, pihak sekolah, ibu bapa, malah mangsa sendiri.
“Tetapi yang sebenarnya, seluruh sistem kita perlu dipersoalkan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.
Syaheera berkata, masyarakat hari ini terlalu mudah menyalahkan individu tanpa melihat akar kepada permasalahan, termasuk kecuaian sistemik yang gagal membentuk kesedaran, disiplin dan empati dalam kalangan remaja.
“Daripada ibu bapa yang mungkin terlalu sibuk hingga tidak memantau anak-anak, sehinggalah kepada kelemahan dasar yang tidak cukup tegas untuk melindungi mereka semua ini adalah kegagalan bersama,” katanya lagi.
Beliau turut menyifatkan pandangan masyarakat yang lebih simpati terhadap masa depan pelaku berbanding mangsa sebagai satu bentuk ketidakadilan yang membimbangkan.
“Empat pelaku tetap dibenarkan mengambil SPM kerana dikatakan masih punya masa depan.
“Namun, bagaimana pula dengan mangsa yang kini menanggung trauma seumur hidup setelah divideokan tanpa ihsan?” soal beliau.
Syaheera menyeru agar kerajaan, pihak sekolah dan keluarga segera memperkukuh sistem perlindungan kanak-kanak, termasuk aspek pendidikan moral, kesedaran gender, serta mekanisme pemantauan sosial yang lebih berkesan.
“Ini bukan masa untuk mencari siapa salah, tetapi masa untuk mengakui bahawa seluruh sistem yang ada kini sedang gagal melindungi anak-anak kita,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








