BERITA SEMASA

Dakwaan pelajar tempatan dianaktirikan tidak berasas – KPT

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menafikan dakwaan bahawa pelajar tempatan dianaktirikan susulan peningkatan kemasukan pelajar antarabangsa di universiti awam.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Azlinda Azman berkata, dakwaan tersebut tidak wajar kerana dasar pengantarabangsaan pendidikan tinggi sudah lama dilaksanakan.

Malah, katanya, dasar itu pernah disokong sendiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr. Haim Hilman Abdullah ketika beliau memegang jawatan Naib Canselor sebuah universiti awam.

“Beliau sendiri bersetuju dan melaksanakan dasar pengambilan pelajar antarabangsa seperti yang termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia 2015-2025. Maka, tidak wajar mewujudkan persepsi kononnya pelajar tempatan diabaikan,” katanya pada sidang akhbar khas di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azlinda berkata, kenyataan ADUN berkenaan yang tular di media sosial boleh mengelirukan rakyat sedangkan hakikatnya keutamaan tetap diberikan kepada pelajar tempatan.

“Komposisi pelajar di lima universiti penyelidikan adalah 91.6 peratus pelajar tempatan berbanding hanya 8.4 peratus pelajar antarabangsa.

“Malah, subsidi kerajaan hanya diberikan kepada pelajar warganegara, manakala pelajar antarabangsa membayar yuran penuh tanpa bantuan,” katanya lagi.

Beliau berkata, dasar pengantarabangsaan bertujuan memperkukuh kedudukan universiti Malaysia di peringkat global melalui kerjasama penyelidikan, meningkatkan penarafan universiti serta menambah daya saing graduan.

“Pengambilan pelajar pascasiswazah antarabangsa membantu meningkatkan reputasi akademik dan penerbitan penyelidikan.

“Universiti Malaya (UM) kini berada di tangga ke-58 terbaik dunia manakala UKM, UPM, USM dan UTM berada di kedudukan 126 hingga 153 dalam QS World Ranking,” katanya lagi.

Mengulas tuduhan bahawa kemasukan pelajar antarabangsa menjejaskan peluang anak tempatan, beliau menegaskan perkara itu tidak benar.

“Tuduhan kononnya kita mengabaikan pelajar tempatan adalah tidak tepat. Kita mahu masyarakat memahami fakta sebenar supaya tidak timbul salah faham.

“Tanggungjawab KPT adalah memberi pencerahan dan memastikan dasar dilaksanakan secara adil,” katanya lagi.

Terdahulu, Dr Haim Hilman dalam ucapannya di Muktamar Tahunan Pas ke-71 di Kedah mendakwa KPT gagal mendahulukan kepentingan rakyat tempatan khususnya dalam isu pendidikan tinggi dan peluang pekerjaan graduan muda sehingga disifatkan sebagai satu “tragedi bangsa”.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button